Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika berkenan menyempurnakan Program Kembali Ke Alam Semulajadi anjuran CEO Action Network dan WWF-Malaysia di Resort World Awana di sini, hari ini.
KELESTARIAN ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA – KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG
Oleh: Fairus Mohd Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 17 JULAI 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua pihak mengambil tanggungjawab untuk memastikan kelestarian alam sekitar dan hidupan sentiasa terpelihara dengan sebaiknya.
Titah baginda, semua pihak terlibat mempunyai kuasa untuk memandu perubahan transformatif dan membentuk masa depan di mana kemakmuran ekonomi mampu berkembang maju seiring dengan pemeliharaan alam sekitar.
Meletakkan Pahang sebagai penanda aras, negeri naungan baginda ini akan menjalankan sektor ekonomi yang akan terus mengekalkan aspek kelestarian.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika berkenan bertitah pada Program Kembali Ke Alam Semulajadi anjuran CEO Action Network dan WWF-Malaysia di Resort World Awana di sini, hari ini.
“Suka bagi saya meletakkan Pahang sebagai benteng penyerapan karbon, hutan pemulihan, penyediaan perkhidmatan ekosistem selain pembuka jalan bagi pelancongan mesra alam semulajadi.
“Memang ada cabaran seperti rangkaian besar kawasan perlindungan dan hutan simpan Pahang yang memerlukan rondaan dan penguatkuasaan lebih kerap namun cabaran akan sentiasa ada dan kita perlu menerima serta mengubahnya menjadi peluang,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Program Kembali Ke Alam Semulajadi anjuran CEO Action Network dan WWF-Malaysia di Resort World Awana di sini, hari ini.
Mengiringi baginda, Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim, YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Pengerusi WWF Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Action Network (CAN), Datuk Muhamad Umar Swift serta Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika berkenan menyempurnakan Program Kembali Ke Alam Semulajadi anjuran CEO Action Network dan WWF-Malaysia di Resort World Awana di sini, hari ini.
Dalam pada itu, baginda bertitah bahawa kesedaran berkenaan kemahiran dan kesediaan terhadap Environmental Social and Governance (ESG) serta penyertaan masyarakat masih di tahap rendah.
“Marilah kita mengambil peluang ini dan menggunakannya untuk mewujudkan sasaran mitigasi (pengurangan kesan bahaya) karbon kita sendiri serta strategi sisa sifar.
“Kita boleh beralih daripada ekonomi eksploitasi alam semula jadi iaitu berpusat di sekitar pembalakan dan perladangan dengan bergerak ke arah yang ekonomi bersih dan hijau.
“Kita boleh mematuhi ESG dan menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri zon ekonomi hijau global yang kompetitif dan dengan rangka kerja ekonomi hijau dan usaha setempat yang diperhebat, Pahang boleh menjadi pusat kecemerlangan bagi pemuliharaan hidupan liar dan pemulihan hutan,” titah baginda.
Sementara itu baginda menyatakan kepercayaan bahawa pertumbuhan ekonomi yang mampan hanya boleh direalisasikan melalui kerjasama antara kerajaan, perniagaan dan pendekatan melibatkan keseluruhan masyarakat.
“Kesimpulannya, visi saya jelas di mana kemampanan alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi tidak seharusnya dilihat sebagai kuasa yang bertentangan tetapi sebagai sekutu yang kuat.
“Kita perlu mengiktiraf nilai besar sumber asli, menerima inovasi, dan memupuk kerjasama bagi membuka laluan ke arah masa depan yang makmur dan mampan untuk diri kita sendiri dan generasi akan datang. Semoga komitmen bersama kita terhadap pemuliharaan dan pertumbuhan ekonomi membawa kita ke masa depan yang lebih baik,” titah baginda. – PAHANGMEDIA