Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengurus Pasukan dan Jurulatih Kontinjen Pahang Ke Sukan Malaysia XXI 2024 Sarawak di Kuantan hari ini

PAHANG SASAR KEDUDUKAN LIMA TERBAIK SUKMA 2024

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Nur Iman Mohd Hafiz Andrew

KUANTAN, 17 JULAI 2023 : Pahang menyasarkan berada pada kedudukan lima terbaik dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang dijangka berlangsung di Sarawak berbanding kedudukan kesembilan sebelum ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, namun ia akan bergantung kepada penilaian akhir pada Oktober nanti.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal

“Saya menyasarkan, saya sendiri yang letak sasaran kalau boleh dikedudukan kelima selepas ini di Sarawak. Tapi ia bergantung kepada penilaian kita yang akhir ini dan sasaran yang kita tetapkan pada Oktober nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Pengurus Pasukan dan Jurulatih Kontinjen Pahang Ke Sukan Malaysia XXI 2024 Sarawak di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Encik Zamri Hassan.

Menurut beliau pertemuan yang julung kali diadakan ini telah berhasil mendapatkan pandangan serta sasaran pingat daripada setiap persatuan sukan yang terlibat.

“Saya ambil maklum maklum balas mereka dan saya nyatakan komitmen Kerajaan Negeri Pahang untuk menambah baik prestasi Kontinjen Pahang pada SUKMA tahun hadapan.

“Kita tidak hanya menagih pencapaian cemerlang daripada atlet semata-mata sebaliknya kita sedar bahawa kita perlu melakukan sesuatu agar pencapaian cemerlang itu dapat di capai.

“Justeru kita menilai daripada kebajikan atlet dan juga jurulatih yang perlu ditambahbaik dan saya juga telah nyatakan tadi apa perancangan kita serta insiatif-insiatif lain dalam menambahbaik kualiti sukan di negeri Pahang,” katanya.

Beliau juga telah meminta kesemua pertubuhan sukan yang terlibat supaya membuat sasaran pingat yang baharu yang akan diserahkan pada Oktober nanti.

“Ini perlu melalui proses yang betul, ada perbincangan khusus antara Majlis Sukan Pahang dan juga persatuan-persatuan ini dan saya nak Majlis Sukan Pahang yang menetapkan sasaran tersebut kerana kita yang mengeluarkan belanja dan kita perlu tahu,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram