Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
LIPIS, 6 JULAI 2023 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail meminta pihak media agar tidak menggunakan tajuk berita yang mengelirukan sekaligus mewujudkan persepsi negatif dan salah faham di kalangan masyarakat terutamanya terhadap Kerajaan Negeri.
Beliau berkata, penggunaan tajuk yang tidak tepat mengakibatkan orang ramai menyalahtafsir kandungan berita yang sebenar tanpa membaca keseluruhan pelaporan berkenaan sesuatu isu.
“Pada 4 Julai yang lalu satu laporan bertajuk ‘Kemenangan Bermakna Pekebun Musang King’, jadi tajuk ini mengelirukan rakyat seolah-olah kerajaan kalah dalam perbicaraan kes semakan kehakiman, jadi ini telah menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam masyarakat.
“Akibat daripada itu terbit pelbagai persepsi dan naratif sehingga ramai netizen beranggapan bahawa pihak pekebun telah menang dalam perbicaraan di mahkamah,” katanya.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata demikian ketika diminta mengulas isu berhubung laporan berita pekebun Musang King pada Selasa lalu selepas Program Kick Off Pahang Pride Kid 2023 di Hospital Kuala Lipis, pagi tadi.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Indera Nor Azimi Yunus, Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Hafizi Ibrahim dan Pengarah Hospital Kuala Lipis, Dr. Idilia Ishahar.
Pada Program Kick Off Pahang Pride Kid 2023 itu, seramai 15 ibu dan bayi telah menerima sumbangan daripada Kerajaan Pahang dengan jumlah keseluruhan RM4,500 yang disampaikan sendiri oleh Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pada itu, beliau juga meminta agar netizen lebih bijak menilai berita dan tidak hanya membaca tajuk semata-mata sebaliknya mendapatkan berita lebih lanjut dengan membaca keseluruhan laporan atau pun mencari maklumat daripada pelbagai sumber yang tepat sebelum membuat sebarang penilaian dan pentafsiran.
“Saya ingin merayu dan menasihatkan semua netizen supaya, yang pertama sekali jangan baca tajuk sahaja, kadang-kadang kita baca tajuk ‘Kemenangan Bermakna Pekebun Musang King’, kalau kita baca tajuk sahaja, pelbagai tafsiran (akan dibuat) seolah-olah Kerajaan Negeri kalah dalam kes dan sebagainya.
“Jadi saya harap baca tajuk, baca juga isi kandungan dan dalam masa yang sama cuba mendapatkan pandangan-pandangan atau pun fakta-fakta daripada pihak-pihak lain, jangan berasaskan hanya kepada satu sumber sahaja mereka boleh rujuk kepada pelbagai pihak,” katanya.
Laporan media berkenaan menyebabkan pelbagai persepsi dan naratif hingga ramai netizen beranggapan bahawa pihak pekebun telah menang dalam perbicaraan di mahkamah berhubung tuntutan mereka untuk mendapatkan kebenaran permohonan semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan Kerajaan Pahang.
Sedangkan keputusan mahkamah tersebut hanyalah berhubung permohonan interlokutori (bantahan awal) pihak Royal Pahang Durian untuk pembatalan prosiding di atas alasan peguam pemohon (pekebun) gagal mengemukakan dokumen untuk mewakili semua pemohon.
Hakikatnya, keputusan ini tiada kena-mengena dengan permohonan semakan kehakiman, yang mana tarikhnya belum ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan. – PAHANGMEDIA