YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkesempatan meraikan kelahiran bayi di Hospital Kuala Lipis pada Program Kick Off Pahang Pride Kid 2023

PENERIMA PAHANG PRIDE KID GEMBIRA TERIMA KUNJUNGAN MB

Oleh: Nur Farahin Rosli
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

LIPIS, 7 JULAI 2023 : Golongan ibu dan bayi yang dilahirkan di Pahang sentiasa diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri melalui pelaksanaan Program Anak Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kid).

Kebanyakan ibu-ibu yang ditemui melahirkan rasa gembira dan teruja menerima kunjungan daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang menyampaikan sendiri sumbangan tersebut.

Bagi seorang guru KAFA, Puan Nurzainah Abu Daha, 26, beliau sangat teruja apabila kelahiran cahaya mata sulungnya yang berusia tiga hari dapat diraikan dengan kehadiran YAB Menteri Besar Pahang yang membawa ‘buah tangan’ kepada mereka.

Puan Nurzainah Abu Daha, 26

“Saya agak terkejut kerana Menteri Besar Pahang datang membuat lawatan hari ini. Alhamdulillah dan terima kasih Kerajaan Negeri Pahang atas hadiah yang diberikan,” katanya yang berasal dari Padang Tengku di sini.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Puan Kunawathi Subramaniam, 34, berkata, sumbangan tersebut akan digunakan untuk keperluan bayinya nanti.

“Ini merupakan anak pertama saya, tetapi keadaannya kurang stabil dan sedang dirawat di NICU. Tetapi saya tetap gembira dan bersyukur atas sumbangan dari Menteri Besar Pahang. Saya boleh guna untuk keperluan dan simpanan anak saya,” katanya.

Puan Kunawathi Subramaniam, 34

Bagi Puan Nor Syafika Baharnudin, 23, pula turut meluahkan rasa gembira diatas lawatan Menteri Besar Pahang.

“Saya seorang suri rumah. Bagi saya sumbangan ini sangat bermakna dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Puan Nor Syafika Baharnudin, 23

Setiap penerima mendapat sumbangan yang berjumlah RM300 berupa barangan penjagaan bayi, gold bar dan Sijil Pahang Pride Kid 2023.

Seramai 15 ibu dan bayi menerima sumbangan masing-masing yang disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bertempat di Wad Bersalin Hospital Kuala Lipis, hari ini.

Program Pahang Pride Kid 2023 ini bertujuan meringankan beban ibu bapa dan merupakan saguhati kepada bayi-bayi yang baru dilahirkan di Negeri Pahang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram