Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 27 JUN 2023 : Sebanyak 85 premis di Cameron Highlands diperiksa dalam operasi penguatkuasaan ke atas pengusaha pelancongan dan premis penginapan pelancongan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH).
Operasi dijalankan bermula 23 hingga 25 Jun lepas hasil daripada pemantauan MOTAC yang mendapati terdapat premis penginapan, individu dan syarikat yang menjual pakej pelancongan tanpa mendapatkan lesen daripada MOTAC terlebih dahulu.
MOTAC dalam satu kenyataan berkata, tindakan ini menyalahi Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) yang hanya membenarkan agensi pelancongan berlesen sahaja menawarkan pakej pelancongan.
“Mana-mana syarikat atau individu termasuk Premis Penginapan Pelancong (PPP) yang menjual pakej pelancongan hendaklah memohon lesen pengusahaan pelancongan mengikut Akta 482 melalui sistem TOURLIST (www.tourlist.gov.my),” menurut kenyataan itu.
Dalam operasi terbabit, sebanyak tiga notis pemeriksaan telah dikeluarkan kerana disyaki melakukan kesalahan Seksyen 5(2), Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) iaitu tiada seorang pun boleh menjalankan atau mengendalikan, atau menganjurkan dirinya sebagai menjalankan atau mengendalikan perniagaan pengendalian pelancongan; atau perniagaan agensi pelancongan melainkan jika ia adalah suatu syarikat dan memegang lesen sah yang diberikan di bawah Bahagian ini.
Jika disabitkan kesalahan, pengusahaan pelancongan yang didapati bersalah boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan berterusan, akan dikenakan denda tambahan tidak melebihi RM5,000 bagi setiap hari kesalahan.
Orang ramai juga diingatkan supaya membeli pakej pelancongan berlesen dan menempah premis penginapan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC bagi mengelakkan penipuan dan menikmati pelepasan cukai pendapatan individu.
Semakan boleh dibuat di laman web rasmi MOTAC https://motac.gov.my/semakan. – PAHANGMEDIA