Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 03 JULAI 2023 : Kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana sekolah yang tidak mempunyai jumlah murid yang ramai daripada menerima bantuan.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan yang disalurkan ini dapat memberi kemudahan kepada para pelajar dalam menuntut ilmu.
“Program hari ini jelas membuktikan bahawa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak pernah meminggirkan mana-mana sekolah walaupun bilangan muridnya tidak ramai.

“Sebagai contoh, murid di sekolah ini hanya ada 70 murid tapi Kerajaan sanggup berbelanja RM5.6 juta dan Kerajaan Negeri juga telah memberi kebenaran kepada permohonan tanah dan sebagainya.
“Jadi ini boleh memberi keselesaan, kemudahan kepada anak-anak untuk belajar dengan lebih selesa berbanding menggunakan bangunan yang lama dan menggunakan konsep yang lebih canggih dari tempat lain,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Blok Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan Kampung Acheh hari ini.
Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd. Razak; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim dan Ahli Parlimen Pekan, YB. Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga telah menghantar permohonan kepada Kerajaan Persekutuan bagi menaiktaraf sekolah daif di Pahang.
“Kita dah ambil data (sekolah) dan sekarang kita banyak kemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan dan seperti biasa, permohonan akan di tapis dan akan diberi mengikut keadaan dan kesesuaian bergantung kepada peruntukan kewangan,” katanya.
Pembinaan bangunan baharu ini mula dilaksanakan pada Jun 2020 dan disiapkan pada 24 April lalu dengan kos sebanyak RM5.695 juta dengan menggunakan kaedah Industrialised Building System (IBS). -PAHANGMEDIA