Tasik Chini

PEMBANGUNAN LADANG HUTAN TIDAK SENTUH HUTAN PERLINDUNGAN – JPNP

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 25 MEI 2023 : Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menegaskan bahawa tiada sebarang aktiviti pembangunan ladang hutan dijalankan di kawasan yang telah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan.

Pengarahnya, Dato’ Dr .Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, ada pembangunan ladang hutan di dalam Hutan Simpan Chini tapi ia berada di kawasan yang dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran malah tidak berada dalam kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini.

“Faktanya, kedudukan kawasan kelulusan bagi pembangunan ladang hutan berada di luar kawasan rizab iaitu kira-kira 11 kilometer jaraknya dari Tasik Chini dan ia adalah di kawasan Hutan Pengeluaran.

Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin

“Kawasan Hutan Simpan Chini berada di bawah pentadbiran tiga daerah sivil iaitu Pekan, Rompin dan Bera dengan keluasan keseluruhan Hutan Simpanan Kekal Chini kira-kira 51,500 hektar. Daripada jumlah keseluruhan tersebut, lebih kurang 45,000 hektar dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran, manakala lebih kurang 6,500 hektar adalah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi maklumbalas berkenaan laporan berita ‘Putrajaya Digesa Sekat Ladang Hutan di Rizab Chini’ yang disiarkan sebuah portal berita tempatan, hari ini.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, beliau berkata kelulusan dasar terhadap pembangunan ladang hutan telah diberikan kepada sebuah syarikat pada 4 Mac 2020 dengan keluasan tanah lebih kurang 2,023.47 hektar dan ia adalah di kawasan Hutan Pengeluaran.

“Rizab Biosfera Tasik Chini berada dalam Hutan Simpan Chini telah diwartakan sebagai hutan simpan seluas 6502.8 hektar yang mana turut diwartakan sebagai hutan perlindungan.

“Saya ingin tegaskan lagi bahawa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang sentiasa komited dalam memastikan kawasan hutan yang telah diwartakan sebagai hutan perlindungan terpelihara dari sebarang aktiviti pembangunan yang mengganggu dan menjejaskan biodiversiti alam semula jadi,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram