YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Apresiasi 2022 Jabatan Perhutanan Negeri Pahang 'JPNP Berintegriti' bertempat di Geo Resort & Hotel semalam.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Apresiasi 2022 Jabatan Perhutanan Negeri Pahang 'JPNP Berintegriti' bertempat di Geo Resort & Hotel semalam.

JPNP PERLU TINGKATKAN PENGUATKUASAAN HUTAN

Oleh : Fansurina Abdullah

BENTONG, 26 MEI 2023 : Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) diminta supaya dapat meningkatkan aktiviti penguatkuasaan hutan di daerah Bentong dan Cameron Highlands.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha ini perlu bagi memastikan agar rakyat cakna terhadap kesungguhan pihak Kerajaan Negeri dalam menangani ketirisan dan kebocoran hasil sumber bumi di Pahang sekaligus dapat menyumbang kepada peningkatan kutipan hasil negeri.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Selain itu, usaha penguatkuasaan bersepadu juga turut memainkan peranan penting dalam peningkatan hasil Negeri. Kita tidak mahu sumber asli kita dijarah secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya menyeru agar aktiviti penguatkuasaan yang agresif seperti yang dilaksanakan di daerah Bentong dan Cameron Highlands seharusnya dipergiatkan lagi. Ini kerana rakyat mesti cakna bahawa Kerajaan Negeri serius dan tegas dalam menangani ketirisan dan kebocoran hasil sumber bumi negeri ini.

“Malah bagi tahun 2022, sebanyak RM3.78 juta jumlah kompaun telah berjaya diperolehi oleh JPNP untuk aktiviti penguatkuasaan yang melibatkan 35 kes, saya mahu aktiviti pencegahan dan rondaan diteruskan dengan lebih kerap dan tindakan pendakwaan ditingkatkan di masa hadapan,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Apresiasi 2022 Jabatan Perhutanan Negeri Pahang ‘JPNP Berintegriti’ bertempat di Geo Resort & Hotel di sini semalam.

Hadir sama ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Zulkifli Yaacob, YB Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin, barisan Exco Kerajaan Pahang dan Pengarah JPNP, YH. Dato’ Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin.

Pada majlis itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Wargakerja Contoh Tahunan JPNP bagi tahun 2022.

Dalam pada itu, beliau berkata, JPNP merupakan agensi yang turut sama memberikan sokongan terhadap perlaksanaan program Kerajaan Negeri antaranya Anak Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kid) apabila sebanyak 15,333 anak pokok telah ditanam sebagai simbolik kelahiran bagi setiap bayi di seluruh Pahang pada tahun lalu.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pihak JPNP yang secara tidak langsung menjadi agen publisiti bagi menguar-uarkan inisiatif Kerajaan ini dengan melaksanakan aktiviti penanaman pokok di setiap daerah,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram