Oleh : Alia Mokhtar
MARAN, 20 MEI 2023 : Keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang terhadap rakyat tidak pernah terpadam malah diteruskan bagi membela nasib mereka yang sangat memerlukan.
Begitu juga dengan pemberian Rumah Rakyat Pahang (RRP) kepada keluarga malang yang kehilangan tempat berteduh akibat kejadian kebakaran pada November 2021.
Bagi Encik Mat Yasin Mat Said, 52, dari Kampung Jara tiada apa yang mampu diluahkan selain rasa bersyukur dan amat berterima kasih di atas pemberian rumah baru untuk dia dan keluarga meneruskan kehidupan.
“Alhamdulillah saya rasa bersyukur sangat. Terima kasih banyak-banyak kepada MB Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin (ADUN Kuala Sentul ketika itu) yang banyak membantu kami. Rumah yang sekarang pula tak perlu bayar apa-apa sebagai inisiatif Kerajaan Pahang dalam membantu rakyat yang memerlukan.
“Perasaan sekarang saya sangat bersyukur, kami orang susah, nak buat rumah sendiri maklum sahajalah.. kerja pun tidak menentu, kerja kampung, adik-beradik pun susah juga” katanya ketika ditemui Pahang Media di kediaman barunya di sini.
Mengimbau kembali tragedi yang berlaku, Encik Mat Yasin berkata dia tinggal di rumah pusaka lama bersama beliau isterinya, Norsahiddatul Samsuri, 36, selain turut menjaga ibunya Hasmah Ahmad, 80, serta dua adik Orang Kurang Upaya (OKU), Mohd Zainuddin Mat Said, 50, dan Mohd Zawawi Mat Said, 48.
“Masa itu Ibu saya tinggal di rumah bersama dengan kedua adik saya yang OKU dan saya keluar dan tiada di rumah. Saya dapat tahu melalui jiran yang berada sekitar memberitahu tentang keadaan rumah yang sudah terbakar. Saya yang berada di Jengka terus bergegas pulang namun setibanya di sana semuanya sudah terlambat. Nasib baik, ibu dan adik-adik saya telah dikeluarkan oleh jiran-jiran.
“Kejadian berlaku dalam pukul 1 petang pada bulan 8 November 2021 dan berpunca dari dapur gas. Ibu saya ketika itu sedang merebus ubi selepas itu dia lupa. Dia dah masuk dalam bilik lipat kain dan terlupa tentang ubi di atas dapur. Selepas kejadian, kami menumpang di balai raya dan ibu saya menumpang rumah adik beradik yang lain,” katanya.
Beliau yang bekerja kampung hanya memperoleh pendapatan RM700 sebulan memberik kesukaran kepadanya yang merupakan ketua keluarga menanggung segala kos perbelanjaan mereka lima beranak.
“Mustahil untuk saya memiliki rumah dengan pendapatan sebegini. Pemberian RRP ini sangat bermakna dan membantu saya sekeluarga hidup dalam rumah yang selesa dan selamat selepas 35 tahun tinggal di rumah pusaka yang turut mengalami pelbagai kerosakan,” akhirnya. – PAHANGMEDIA