Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal hadir ke Majlis Penutup Sukan SEA 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo, Cambodia.

PAHANG LETAK SUKMA 2024 SEBAGAI KAYU UKUR PRESTASI ATLET

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PHNOM PENH, 18 MEI 2023 : Kerajaan Negeri Pahang akan meletakkan Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang bakal berlangsung di Sarawak sebagai kayu ukur bagi menilai prestasi atlet negeri ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata turut dinilai adalah jurulatih serta pengurusan pasukan.

“Saya rasa kayu ukur bagi menilai prestasi atlet adalah Sukma sebab Sukan Sea, Sukan Asia, bukan semua atlet Pahang terlibat, terpilih mewakili negara.

“Saya dari segi sukan, memang saya tengah beri fokus kepada atlet, jurulatih, dan juga pengurusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Sukan SEA 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo di sini yang turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Encik Zamri Hassan.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri juga akan menambah elaun altet serta jurulatih bermula tahun hadapan sehingga berlangsungnya Sukma.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal hadir ke Majlis Penutup Sukan SEA 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo, Cambodia.

“Kita akan ada kenaikan elaun atlet secara bulanan dan kita akan naikkan secara bulanan bermula tahun depan sehingga Sukma.

“Jurulatih pula, gaji mereka kita akan tambah baik supaya tidak ketinggalan berbanding negeri-negeri lain tapi kita perlu letakkan KPI.

“Gaji dah naik, dah lebih, KPI kenalah jaga. Jadi kayu ukur dia adalah Sukma dan lepas itu kita akan nilai balik prestasi jurulatih,” katanya.

Mengulas mengenai pengurusan sukan berprestasi tinggi, beliau berkata Kerajaan Negeri telah menghantar wakil dari Majlis Sukan Pahang (MSP) ke Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

“Ini supaya pengurusan kita bersedia dengan ilmu-ilmu baharu seperti sains sukan, kaedah-kaedah baharu pengurusan sukan hari ini supaya tidak ketinggalan dari segi pengurusan.

“Jadi saya rasa, pengurusan, kejurulatihan, dan atlet, untuk kita tambah baik ini, kita akan dapat keputusan yang bagus,” katanya.

Temasya Sukan SEA Ke-32 Kemboja 2023 yang berlangsung secara rasmi pada 5 Mei 2023 dan menutup tirainya pada 17 Mei turut melibatkan 30 orang atlet dan 3 orang pegawai dari negeri Pahang Darul Makmur untuk mewakili Malaysia.

Para atlet ini telah berjaya menyumbang 2 Emas, 6 Perak dan 5 Gangsa daripada 34 Emas, 45 Perak dan 93 Gangsa yang dikutip oleh kontinjen Malaysia secara keseluran untuk berada di tangga ketujuh. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram