Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang

SIDANG DUN : PENDIDIKAN ANAK ORANG ASLI DI NEGERI PAHANG TERUS DIUTAMAKAN

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 11 MEI 2023 : Pelbagai usaha diambil bagi menangani keciciran pelajar anak-anak Orang Asli termasuk Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang bagi memastikan mereka juga menerima pendidikan yang sewajarnya.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan juga menyediakan pengangkutan ke sekolah, bantuan yuran persekolahan, insentif wang saku untuk murid sekolah menengah, program-program kecemerlangan, menjejak anak-anak orang asli yang tercicir selain menyediakan bantuan pakaian seragam sekolah kepada murid tahun satu dan tingkatan satu.

“Bagi menjawab soalan yang dikemukakan ADUN Tahan pula, seramai 20 orang pelajar anak orang asli berada di sekolah menengah dan 160 orang pula berada sekolah rendah dengan jumlah Kelas Khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seramai 65 orang pelajar dari etnik suku kaum Bateq,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, bagi menggalakkan anak-anak ini bersekolah mereka turut ditempatkan di asrama di mana kini seramai 661 orang anak orang asli berjaya dipujuk untuk meneruskan pelajaran dan tinggal di asrama. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram