Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 11 MEI 2023 : Kerajaan Pahang meneruskan pengagihan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) terutamanya bagi pelajar tingkatan 5 dan tingkatan 6 yang tertangguh pada tahun lalu, pada tahun ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, isu tertangguh itu melibatkan penerima di daerah Temerloh ekoran perlu memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU15) ketika itu (kakitangan PDT bertugas).
“Kita bagi RM100 bagi setiap pelajar terlibat, namun berhenti ketika PRU15 kerana berlakunya kempen untuk PRU selain pelajar tingkatan lima pula sedang menjalani peperiksaan percubaan. Selepas PRU, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Temerloh telah mengemukakan surat permohonan peruntukan semula pada 28 Februari 2023 dan peruntukan kepada 3,403 orang pelajar melibatkan perbelanjaan sebanyak RM340,300.
“Ia telah selesai pada Mac lalu dan Kerajaan Negeri Pahang melalui YAB Menteri Besar Pahang mengesahkan bahawa Bantuan Prihatin Pahang (BPP) akan diteruskan dan ditambahbaik lagi tertakluk kepada prestasi semasa kewangan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Kuala Semantan, YB Tuan Hassanuddin Salim berkenaan bayaran BPP yang tertangguh di daerah Temerloh pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini. – PAHANGMEDIA