Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 09 MEI 2023 : Kawasan penanaman padi di Negeri Pahang melibatkan tanah seluas 10,174 hektar melibat tujuh daerah di negeri ini bagi musim utama 2021/2022.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata daripada jumlah kawasan berkenaan jumlah guna tanah bagi menanam pula melibatkan kawasan seluas 8,973.36 hektar.
“Ia melibatkan tiga jenis jelapang iaitu pertama, IADA Pekan dengan luas fizikal 6,199 hektar, luas kawasan bertanam bagi musim utama 5,655 hektar, dan purata hasil sehektar sebanyak 3.49 metrik tan.
“Bagi IADA Rompin, dengan luas fizikal 2,920 hektar, luas kawasan bertanam bagi musim utama 2,480 hektar, dan purata hasil sehektar sebanyak 5.14 metrik tan.
“Luar jelapang melibatkan Kuantan, Rompin, Maran, Temerloh, Bera dan Jerantut pula luas fizikal 1,055 hektar, luas kawasan bertanam bagi musim utama 838.36 hektar, dan purata hasil sehektar sebanyak 3.97 metrik tan,” katanya.
Menurut beliau lagi, sebanyak 377 hektar pula melibatkan luas kawasan padi bagi daerah Maran di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenor dan DUN Luit.
“Luas kawasan padi yang terletak dalam DUN Chenor beriumlah 348 hektar. Baki 29 hektar terletak dalam DUN Luit iaitu di Paya Kertam.
“Senarai lokasi kawasan padi dalam DUN Chenor ialah di Paya Kertau seluas 93 hektar di bawah Skim Kecil; di Paya Chenor Seberang seluas 66 hektar (Skim kecil); di Paya Sentang seluas 79 hektar (Luar skim); di Paya Pesagi 62 hektar (Luar skim); dan Paya Baharu Bukit Cempedak 48 hektar (Luar skim).
“Pada tahun 2022 luas berhasil kawasan padi DUN Chenor ialah 263 hektar dengan hasil berjumlah 817.34 metrik tan. Purata hasil ialah 3.1 tan per hektar,” katanya.
Jelas beliau lagi, terdapat dua taraf infrastruktur bagi kawasan padi iaitu Skim Kecil dan Luar Skim yang melibatkan kadar penamanan padi dalam setahun.
“Skim Kecil boleh bertanam (padi) dua kali setahun, manakala di Luar Skim boleh bertanam (padi) hanya sekali setahun.
“Di Paya Gintong/Sokti, Jerantut seluas 28 hektar bertaraf Skim Kecil; di Paya Pinang, Kuantan seluas 61 hektar bertaraf Skim Kecil; di Paya Sepat, Kuantan seluas 69 hektar bertaraf Skim Kecil; di Paya Kertam, Maran seluas 29 hektar bertaraf Skim Kecil; di Paya Kertau, Maran seluas 93 hektar bertaraf Skim Kecil; di Paya Chenor Seberang, Maran seluas 66 hektar bertaraf Skim Kecil; di Pesagi, Maran seluas 62 hektar bertaraf Luar Skim.
“Di Bukit Chempedak, Maran seluas 48 hektar bertaraf Luar Skim; di Sentang, Maran seluas 79 hektar bertaraf Luar Skim; di Paya Tanjong Keladan, Bera seluas 33 hektar bertaraf Skim Kecil; di Paya Pulau Nawar, Bera seluas 31 hektar bertaraf Skim Kecil; di Paya Selindang seluas 42 hektar bertaraf Skim Kecil; di Paya Jawa Pantai, Rompin seluas 63 hektar bertaraf Luar Skim; di Paya Sungai Meranti, Rompin seluas 103 hektar bertaraf Luar Skim; dan di Paya Pandan Jaya, Pekan seluas 248 hektar bertaraf Luar Skim,” katanya. -PAHANGMEDIA