YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, YB. Encik V. Arumugam berkenaan perkembangan projek tebatan banjir di seluruh negeri Pahang, khasnya di Daerah Bentong semasa Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.

SIDANG DUN: RM501.46 JUTA BAGI PROJEK TEBATAN BANJIR SEDANG LAKSANA DI PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 09 MEI 2023 : Kerajaan Negeri sedang melaksanakan beberapa projek Tebatan Banjir (RTB) di negeri ini bagi mengurangkan risiko banjir daripada berulang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM501.46 juta.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, empat daripada projek ini telah pun mendapat kelulusan manakala selebihnya sedang dalam peringkat reka bentuk.

“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Salian sedang melaksanakan beberapa projek RTB yang telah diluluskan di Negeri Pahang antaranya ialah RTB Pekan Fasa ii – Parcel 2 iaitu pembinaan levee Sungai Pahang serta kerja berkaitan; Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kuantan Pakej 1 iaitu menaiktaraf Sungai Belat dan membina struktur pencegah banjir serta kerja berkaitan.

“PLSB Sungai Kuantan Pakej 3 iaitu dengan membina ban pencegah banjir di Perkampungan Cenderawasih seta mempertingkatkan ban sedia ada di Perkampungan Sungai Isap serta kerja berkaitan; dan RTB Sungai Semantan Temerloh Fasa 1 serta kerja berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, YB. Encik V. Arumugam berkenaan perkembangan projek tebatan banjir di seluruh negeri Pahang, khasnya di Daerah Bentong semasa Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Tambah beliau lagi, terdapat tiga projek yang sedang dalam peringkat reka bentuk dan pelantikan kontraktor dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM168.7 juta.

“Selain itu terdapat juga projek Tebatan Banjir yang sedang dalam peringkat reka bentuk seperti PLSB Sungai Jelai, Lipis Fasa 1 serta kerja berkaitan.

“Bagi PLSB Sungai Kuantan Pekej 2 iaitu dengan membina ban pencegah banjir di Sungai Pandan dan Sungai Kuantan di Bukit Rangin serta kerja berkaitan kini berada pada peringkat perolehan dengan tender telah dikeluarkan pada 11 April 2023.

“Di RTB Tanjung Gahai, Lipis iaitu membina ban tebatan banjir yang merangkumi kawasan Tanjung Gahai serta kerja yang berkaitan, ia kini sedang dalam proses perlantikan kontraktor oleh JPS Pahang,“katanya.

Menurut beliau lagi, bagi daerah Bentong pula, Kerajaan Negeri telah membuat kertas permohonan cadangan Rancangan Tebatan Banjir Daerah Bentong secara ‘off-budget’ kepada Kerajaan Persekutuan dengan anggaran kos sebanyak RM410 juta pada tahun 2022 dan sehingga kini cadangan projek ini masih dalam tindakan Kerajaan Persekutuan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram