Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

GANDING BAHU KURANGKAN KES JENAYAH DI PAHANG

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 8 MEI 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua pihak bagi meningkatkan usaha mengurangkan kadar jenayah di dalam negeri ini.

Baginda bertitah, ia perlu diberi perhatian khusus untuk membantu mengurangkan kadar jenayah komersil dan jenayah sivil di negeri Pahang pada setiap tahun.

“Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita kes buang bayi yang berlaku di Tanjung Lumpur, Kuantan dan kejadian ini amat dikesali. Saya berharap agar kejadian menyedihkan seperti ini tidak berlarutan di Negeri Pahang.

“Justeru saya mahu semua jabatan dan agensi kerajaan berkaitan serta NGO berganding bahu. Bimbingan kaunseling yang bersesuaian serta didikan agama perlu diterapkan demi kesedaran golongan muda,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Sementara itu baginda bertitah, kempen-kempen kesedaran di semua peringkat lapisan masyarakat hendaklah diperluas sama ada kempen secara lisan, ceramah dan media sosial melibatkan organisasi atau agensi-agensi pendidikan.

“Kebersamaan dalam usaha ini akan turut menyumbang ke arah pencegahan kes jenayah seperti buang bayi, dadah, mat rempit dan keganasan rumah tangga,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram