PAIP HANTAR 34 LORI TANGKI, 855 TANGKI STATIK KE KAWASAN ALAMI GANGGUAN AIR

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 23 APRIL 2023 : Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam proses menghantar 34 lori tangki air serta 855 tangki statik ke kawasan dikenalpasti bagi menangani gangguan bekalan air yang berlaku.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari dalam satu kenyataan media berkata penempatan segera lori dan tangki statik ini diatur sebagai bantuan bekalan alternatif kepada penduduk.

“Walau bagaimanapun, sepertimana dimaklumkan terdahulu PAIP di semua daerah seluruh Negeri Pahang telah mengaktifkan pelan kontigensi berdepan situasi gangguan yang akan berlaku. Tempoh efektif plan kesiapsiagaan PAIP tersebut sedang berjalan dan diteruskan sehingga 30 April 2023.

“PAIP sedang atur gerak 34 buah lori tangki air untuk agihan bantuan bekalan alternatif dan penempatan segera 855 buah tangki statik di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti sebagai kawasan kritikal menghadapi masalah tekanan air rendah mahupun gangguan bekalan air.

“PAIP juga telah mengambil tindakan segera menambah dan atur gerak Lori Tangki Air Jumbo (40,000 dan 50,000 liter) di daerah-daerah Negeri Pahang bagi mempercepat bantuan agihan bekalan alternatif,” katanya.

Beliau berkata pihak PAIP juga sedia maklum berkenaan gangguan bekalan air di beberapa kawasan disebabkan beberapa perkara melibatkan penggunaan yang meningkat serta cuaca.

“Beberapa kawasan berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual pada masa ini disebabkan beberapa sebab utama antaranya masalah paip pecah dan masalah air tekanan rendah berikutan peningkatan mendadak berkali ganda permintaan dan penggunaan pada sesuatu masa yang sama pada musim perayaan Aidilfitri terutama di kawasan FELDA dan kampung tradisional.

“Selain itu ditambah lagi faktor cuaca kemarau atau fenomena La Nina lemah mengakibatkan cuaca kering dan taburan hujan yang berkurangan sejak beberapa minggu lalu telah menyebabkan sumber air mentah yang diperolehi daripada sungai-sungai utama telah berkurangan.

“Penyusutan sumber air mentah ini menyebabkan beberapa Loji Rawatan Air (LRA) mengalami penyusutan pengeluaran air terawat atas kekangan operasi pam-pam secara optimum di muka sauk sekaligus memberi kesan kepada Kolam Imbangan dan Kolam Simpanan berada di paras minimum apabila LRA tidak beroperasi secara maksimum,” katanya.

Menurut kenyataan tersebut, pihak PAIP turut menasihatkan pengguna supaya menggunakan air secara berhemah serta menyediakan bekalan air secukupnya semasa musim perayaan ini.

“PAIP sedang berusaha sedaya-upaya dan optimis dapat atasi perkara ini dengan lebih baik. Kakitangan PAIP yang bertugas akan terus memberi khidmat dengan pantas seterusnya memberi keselesaan kepada para pengguna khususnya di musim cuti perayaan ini.

“Pada masa yang sama, pengguna dinasihatkan menggunakan air secara berhemat dan melakukan persediaan bekalan air secukupnya bagi kegunaan di musim perayaan. Kesabaran dan kerjasama amatlah dihargai.

“Untuk sebarang masalah, pengguna boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) melalui talian 09-573 9999 yang beroperasi selama 16 jam sehari iaitu dari jam 7 pagi hingga 11 tengah malam,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram