YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas Majlis Perasmian Program Pemukiman DUN Pahang : Kursus Peraturan Dewan Dan Protokol yang berlangsung di Hotel Zenith, Cameron Highlands

ADUN PERLU RASIONAL, KETEPIKAN EMOSIONAL – MB

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

CAMERON HIGHLANDS, 16 FEBRUARI 2023 : Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pahang diminta agar dapat menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat secara rasional dan bukannya emosional.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dalam setiap hujahan dan lemparan pandangan haruslah berpaksikan fakta dan kebenaran demi menjaga hak rakyat.

Namun katanya, jika emosional diterapkan di dalam suatu pemerintahan, ianya akan mewujudkan suasana kurang harmoni.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pemukiman DUN Pahang : Kursus Peraturan Dewan Dan Protokol yang berlangsung di Hotel Zenith, Cameron Highlands

“Dalam banyak hal terutama semasa sidang dewan, kerana kita tahu Pahang ini mempunyai cara tersendiri, keadaan yang harmoni dari dahulu lagi dan kita kena kekalkan sebab itu kalau sekiranya ada apa-apa kita perlu rasional untuk membangkitkan sesuatu perkara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Pemukiman DUN Pahang : Kursus Peraturan Dewan Dan Protokol yang berlangsung di Hotel Zenith, di sini hari ini.

Hadir sama ialah YB. Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Dalam pada itu, beliau berkata, Program Pemukiman DUN Pahang ini juga boleh dijadikan medium persefahaman dan perbincangan di kalangan pemimpin tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

“Ada masa kita kena duduk bersama untuk berbincang, barulah kita profesional, kalau politik sepanjang masa 24 jam, masa bila kita hendak bincang hal rakyat, jadi ini adalah satu pendekatan yang baik.

“Kita juga boleh duduk semeja dengan rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang mempunyai ideologi yang berbeza, jadi kita boleh bincang, mereka boleh bagi pandangan mereka dan kita boleh bagi pandangan kita,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram