Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 16 FEBRUARI 2023 : Exco Kanan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff hari ini telah mengesahkan beliau akan bertanding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Pekan sempena Pemilihan UMNO 2023 bagi mengisi kekosongan jawatan itu yang ditinggalkan Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak.
Dato’ Mohammad Fakhruddin merupakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar selama tiga penggal sejak 2013 dan EXCO Kerajaan Pahang selama dua penggal sejak 2018. Pada penggal lalu, beliau merupakan EXCO Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia manakala bagi penggal ini beliau telah diberi amanah selaku EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang.
Selama 3 penggal selaku ADN Bebar beliau telah didapati berjaya membawa kejayaan yang cemerlang kepada UMNO Bahagian Pekan dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke 13, 14 dan 15 dengan prestasi dan keputusan majoriti yang amat baik.
Beliau merupakan Graduan Ijazah Kejuruteraan Industrial Engineering dari Universiti Of Miami di Amerika Syarikat (1984-1988) dan telah mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS) di Kuantan dan Sekolah Menengah Ahmad Pekan.
Beliau juga mempunyai pengalaman luas dan telah memegang jawatan penting di beberapa syarikat ternama antaranya Pengarah MSM Berhad, Pengarah Felda Engineering & Services Sdn Bhd, Jurutera di Syarikat Black & Decker Sdn Bhd; Jurutera Projek di SME Tools Sdn Bhd; Pengarah & Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Maces Sdn Bhd.
Beliau turut memegang jawatan penting dalam parti dan pertubuhan antaranya, Pengerusi Biro Penerangan UMNO Pekan (2018 – 2022); Ahli Jawatakuasa UMNO Bahagian Pekan ( 2008-2012); Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Pekan (2004 – 2008) dan Pengerusi & Penasihat Gerakan Belia 4B Parlimen Pekan.
Dato’ Mohammad Fakhruddin juga dilihat antara wakil rakyat yang kuat berkerja dan sentiasa turun padang untuk membantu rakyat. Beliau juga rapat serta mempunyai hubungan yang amat baik dengan kepimpinan UMNO Negeri diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang yang juga YAB Menteri Besar, Dato Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Dengan prestasi yang amat baik, pengalaman yang luas, kejayaan yang telah terbukti selama ini dan hubungan baik beliau dengan semua pihak maka diyakini YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin mampu mengemudi dan mengukuhkan kembali kedudukan dan kegemilangan UMNO Pekan dimata pengundi-pengundi dan semua masyarakat berbilang kaum di Pekan. – PAHANGMEDIA