Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 17 JANUARI 2023 : Masalah muara cetek yang membelenggu kira-kira 1,821 nelayan di daerah ini mampu diselesaikan melalui pembinaan benteng pemecah ombak (breakwater) yang kini berada dalam peringkat perancangan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, projek berkenaan menjadi keutamaan untuk diberi kelulusan kerana ia adalah satu perkara dan keperluan yang begitu mendesak.
“Kita juga bersama pihak LKIM hari ini membincangkan masalah yang dihadapi oleh lebih 1,800 nelayan iaitu muara sungai cetek yang memberi kesan kepada usaha pendaratan ikan sekaligus menyebabkan kehilangan pendapatan bukan sahaja kepada pendapatan nelayan tetapi juga Kerajaan Negeri melibatkan nilai hampir RM100 juta setahun.

“Kita nak mendalamkan muara mengikut cara yang telah dinyatakan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Projek breakwater ini memerlukan peruntukan sebanyak RM107 juta bagi tempoh empat tahun pembinaannya jika mendapat kelulusan iaitu bermula tahun depan dijangka siap pada 2028,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Projek Pemuliharaan Muara Sungai Kuantan di Kompleks Tun Razak (KOMTUR) hari ini.
Mesyuarat ini turut dihadiri Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Pahang, Puan Ir. Roslina Yusop.
Sementara itu, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata, projek berkenaan sangat penting kerana ia dapat memberi pulangan baik kepada semua pihak terutamanya golongan nelayan yang terlibat.
“Bagi jangka masa pendek kita tawarkan kerja-kerja mendalamkan muara kepada syarikat-syarikat konsesi melalui pengorekan pasir, tapi bagi jangka masa panjang kita perlu bina benteng atau breakwater ini untuk kekalkan keadaan muara dan mengelak berlakunya mendapan pasir yang menyebabkan muara cetek.
“Namun begitu, kehadiran syarikat konsesi ini hanya bersifat jangka pendek kerana ia bergantung kepada permintaan terhadap pasir,” katanya.
Beliau berkata, ekoran kos yang besar bagi membina benteng pemecah ombak, usaha jangka pendek menggunakan syarikat konsesi pasir turut dilakukan di beberapa kawasan muara perairan lain di sekitar daerah Kuantan dan Pekan.
“Di muara sungai di Tanjung Batu, Nenasi di mana kita bagi syarikat konsesi untuk korek pasir sekaligus mendalamkan muara bagi membantu nelayan di situ.
“Perkara sama turut dilakukan di kawasan Cherating, Sungai Ular, Kuala Kuantan serta Beserah bagi memudahkan urusan nelayan-nelayan di kawasan berkenaan,” katanya. – PAHANGMEDIA