Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 17 JANUARI 2023 : Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah menyumbang sebanyak RM30.8 juta melibatkan bidang pendidikan bagi tahun 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain berkata, kesemua sumbangan ini diagihkan mengikut skim bantuan yang ditetapkan.
“Pertama, Skim Bantuan Dermasiswa, jumlah agihan sebanyak RM13.6 juta melibatkan 21,246 penerima. Kedua, Skim Bantuan Awal Ke Institusi Pengajian Tinggi, jumlah agihan sebanyak RM8.2 juta melibatkan 8,188 penerima.
“Ketiga, Skim Sumbangan Selenggara Dan Naiktaraf Sekolah dan Asrama Menengah Agama Negeri sebanyak RM2.9 juta. Keempat, sumbangan selenggara dan naiktaraf surau sekolah dan Program Keagamaan di Sekolah Rendah dan Menengah Kebangsaan dengan jumlah sebanyak RM2.3 juta.
“Kelima, Skim Sumbangan Am kepada Maahad Tahfiz dan Pondok sebanyak RM950,000. Dan termasuklah beberapa skim-skim lain seperti Skim Bantuan Elaun Guru Al-Quran Kanak-kanak seramai 1,485 guru SARKAFA; elaun kepada guru Al-Quran asrama seramai 287 orang; Skim Bantuan Tambang Belajar Ke Luar Negeri; Skim Biasiswa; dan lain-lain lagi berjumlah RM1.4 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Agihan Zakat Kepada Institusi Pendidikan Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur, hari ini.
Turut hadir menyempurnakan penyerahan sumbangan, Timbalan Yang di-Pertua MUIP, YAM Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, Mufti Pahang, YH. Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Othman; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Tuan Mohammad Rosli Abdul Rahman; dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Dr Zulkefli Ali.
Menurut beliau, bagi tahun ini, sebanyak 45 institusi pendidikan menerima pengagihan sumbangan daripada MUIP yang bernilai RM3,779,947 juta melibatkan pelbagai tujuan. -PAHANGMEDIA