Oleh : Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
MARAN, 8 NOVEMBER 2022 : Pembinaan kilang memproses produk hiliran di Kawasan Perindustrian Maran II di Pekan Tajau, Maran bernilai RM747 juta dapat merangsang pembangunan dan perubahan secara berfasa untuk tempoh 15 tahun akan datang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini sekaligus dapat membuka 1,220 peluang pekerjaan kepada penduduk di daerah tersebut.
“Kita bawa pelaburan ke Maran di mana ini akan memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Maran dan seperti mana biasa Kerajaan Negeri Pahang memang amat menggalakkan mana-mana pelabur yang datang ke Negeri Pahang seperti mana hari ini, maknanya mereka akan membuat Bioplastik di mana akan dieskport ke negeri dan negara lain seperti China umpamanya kerana permintaan terlampau tinggi.
“Jadi dengan itu bagi Pahang kita memang sangat mengalu-alukan kedatangan pelabur ke Negeri Pahang,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Biosea Corporation Sdn Bhd dengan Ika Jaya Sdn Bhd bagi Projek ‘Maran Integrated Bioeconomy’ di Maran Hill Golf Resort di sini hari ini.
Hadir sama ialah Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, Calon Kawasan Dewan Negeri (DN) Luit, Encik Jamaluddin Md. Marzuki, Pengerusi Biosea, Datuk Daniel Lim dan wakil Ika Jaya Sdn Bhd, Puan Rahimah Karim.
Sebelum itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy telah melawat Projek Tebatan Banjir di Riverside Maran yang akan dimulakan pada Disember depan dan dijangka siap pada tahun hadapan.
Jelasnya, projek tebatan banjir yang akan dibina secara berperingkat ini bernilai RM16 juta dengan kepanjangan 3.5km dan kedalaman 1 meter bertujuan meminimakan masalah banjir yang berlaku setiap tahun di Pahang. – PAHANGMEDIA