Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
MARAN, 8 NOVEMBER 2022 : Kerajaan Pahang sememangnya komited dan bersungguh-sungguh untuk membangunkan kawasan luar bandar dan FELDA di negeri ini khususnya dalam melaksanakan sektor agromakanan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sejak dahulu lagi Kerajaan Negeri bukan sekadar membangunkan kawasan FELDA semata-mata tetapi kawasan luar bandar turut menjadi tumpuan bagi menjayakan sektor agromakanan.
“Bukan sahaja di kawasa FELDA di Pahang ini, malahan di kawasan kampung tradisional pun, dua minggu lepas kita telah meluluskan satu kawasan di Jerangsang, Benta untuk perusahaan penternakan ayam di mana kita akan bangunkan dan dapat memberi peluang pekerjaan kepada 2,000 orang pekerja anak tempatan.

“Jadi bukan sahaja di kawasan FELDA, di kawasan FELDA lagilah mudah kerana ianya terkumpul, tersusun dan mudah bagi kita untuk merancang dan kemudahan asas juga telah ada, banyak tempat telah ada kemudahan, yang di Jerangsang ini pun, kemudahan asasnya belum ada sepenuhnya tetapi kita bagi kelulusan dulu sebab kita akan mendapat kemudahan asas dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Jamuan Minum Pagi Bersama Masyarakat Daerah Maran di Laman Qalbu di Maran, pagi tadi.
Hadir sama ialah Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang yang juga calon BN bagi Parlimen Maran, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin dan Calon Kawasan Dewan Negeri (DN) Luit, Encik Jamaluddin Md. Marzuki.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas manifesto oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung pemerkasaan luar bandar dan FELDA dan menyifatkan usaha tersebut bertujuan untuk meningkatkan pembangunan di kawasan-kawasan tersebut.
“Tentulah bila Presiden (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid) mengeluarkan kenyataan dimasukkan ke dalam manifesto, ada tujuan-tujuan tertentu yang boleh meningkatkan pembangunan di kawasan FELDA,” katanya.
Jelasnya, Kerajaan Pahang telah melaksanakan pemerkasaan FELDA di negeri ini di mana suratan hak milik telah diberikan kepada lebih 94 peratus peneroka di seluruh negeri dan kerajaan akan berusaha menyelesaikan beberapa pemberian suratan hak milik yang masih belum dapat diserahkan akibat masalah teknikal. – PAHANGMEDIA