Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 13 OKTOBER 2022 : “Mereka ini (mangsa banjir) bukan tidak dapat (bantuan banjir), tapi belum dapat. Dalam proses pengagihan,” ulas YAB Menteri Besar Pahang berkenaan masih ada mangsa banjir yang tidak menerima bantuan berkenaan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi Ketua Isi Rumah (KIR) yang masih belum menerima bantuan ini tidak perlu bimbang kerana ia sedang dalam proses pengagihan.
“Bagaimanapun, agihan secara keseluruhan berjalan lancar dan baik. Cuma ada lagi yang belum dapat,” katanya ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Beliau sebelum itu menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Teruntum, YB. Encik Sim Chon Siang berkenaan mangsa banjir yang masih belum menerima wang bantuan daripada Kerajaan Negeri selepas permohonan dihantar dan cara Kerajaan Negeri membantu mereka semasa.
Beliau berkata, menurut rekod, sebanyak 3,304 KIR yang menjadi mangsa banjir di negeri ini masih belum menerima Bantuan Khas Bencana Banjir oleh Kerajaan Pahang melibatkan empat daerah iaitu Kuantan, Temerloh, Bentong, dan Pekan.
“Bagi Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir yang belum diagih bantuan adalah Kuantan sebanyak 280 KIR; Temerloh (2,358 KIR) yang akan dibuat pengagihan minggu hadapan; Bentong (318 KIR); dan Pekan (348 KIR).
“Antara kelewatan mereka menerima bantuan ini, pertama sekali ada diantara mangsa banjir ini tak datang semasa kita buat penyerahan. Yang kedua, ada maklumat tak lengkap,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Pahang sentiasa memandang serius penyerahan bantuan ini bagi memastikan tiada kesilapan berlaku semasa pengagihan.
“Jadi sebab ini duit Kerajaan, kita harus perhalusi walaupun mereka itu mangsa banjir. Kita tak mahu tersilap bagi.
“Mana yang tak sepatutnya dapat, dapat (bantuan banjir). Manakala mana yang sepatutnya dapat, tak dapat,” katanya. – PAHANGMEDIA