Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin.

SIDANG DEWAN NEGERI : PAHANG CATAT RM5.58 BILION PERBELANJAAN PELANCONG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 12 OKTOBER 2022 : Pahang mencatatkan kutipan perbelanjaan pelancong sebanyak RM5.58 bilion apabila mencatatkan kenaikan jumlah pelancong sebanyak 544.53 peratus menjadikan jumlah 6.6 juta pelancong dalam tempoh Januari hingga September 2022 ke negeri ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin berkata, daripada 6.6 juta pelancong itu, seramai 4.2 juta pelancong memilih percutian tanah tinggi, 1.9 juta pelancong memilih pantai dan pulau manakala pengembaraan alam semulajadi (eko-pelancongan) seramai 500,000 pelancong.

“Perbelanjaan pelancong atau ‘tourist expenditure’ sebanyak RM5.58 bilion. Ini sebenarnya apa yang kita hendak kerana dari segi KDNK, sebahagian iaitu 50 peratus daripada KDNK kita adalah daripada perkhidmatan dan kita kena ingat bahawa pelancongan adalah industri perkhidmatan.

“Jadi sebab itulah industri ini penting kalau kita tengok, YAB Menteri Besar pun sebut, dalam membangunkan Pahang Barat yang pertama adalah pelancongan kerana orang akan berbelanja duit di hotel, restoran, di tempat-tempat lain, stesen minyak, membeli barang-barang dan sebagainya kemudian duit tersebut akan berputar dan menyebabkan industri dan ekonomi ini berkembang dan terus maju,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Sesi Penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Menyentuh isu alam sekitar, beliau berkata, Kerajaan Pahang telah meluuskan dua enakmen penting iaitu Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Majlis Biodiversiti Pahang 2021 bertujuan untuk mengawal alam sekitar.

“Kerana itu YAB Menteri Besar telah melancarkan Pelan Strategik Alam Sekitar Negeri Pahang dan kita telah bekerjasama dengan UCYP yang telah menubuhkan Pahang Ecology Research Centre yang menjalankan kegiatan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata, ‘Malayan Tiger Conservation’ yang telah siap dibina di Lanchang untuk menjaga flora dan fauna selain melindungi hidupan haiwan tersebut yang semakin terancam.

Bagi sektor perladangan pula, kerajaan telah melancarkan E-Ladang untuk memastikan setiap perladangan mempunyai data supaya dapat dipantau dan dibuat unjuran sebagai panduan atau perancangan ekonomi pada masa hadapan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram