Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak.

SIDANG DEWAN NEGERI : KERAJAAN PAHANG GALAK PENGLIBATAN AGROPRENEUR MUDA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 12 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang menggalakkan penglibatan golongan agropreneur muda dalam pelbagai lapangan bagi mewujudkan kesinambungan di dalam sektor pertanian dan agro-makanan.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak berkata, kerajaan kini sedang melaksanakan beberapa usaha yang akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan melibatkan petani-petani muda di dalam semua lapangan.

“Sebagai pengiktirafan kepada pemain-pemain muda ini, di bawah Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Agro-Makanan seramai 3,779 pemain ini akan diberi pengiktirafan dan sumbangan tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada mereka semua,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Sesi Penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Beliau berkata, menerusi Belanjawan Pahang 2023 yang dibentangkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail baru-baru ini, sektor pertanian dan agro-makanan tidak terkecuali daripada mendapat peruntukan-peruntukan yang dapat memperkasakan sektor terbabit.

Jelasnya, pelbagai inisiatif telah dirangka menerusi jalinan kerjasama dan persefahaman bersama peneraju ternakan antarabangsa bagi mengembangkan sektor terbabit ke peringkat dunia.

“Kita telah pergi ke Jerman dan berbincang serta menjalin kesefahaman dengan pemain-pemain dan peneraju-peneraju ternakan di Jerman yang mewakili persatuan ‘Wagyu Association Of Germany (Pertubuhan Wagyu Jerman) dan mereka telah bersetuju membekalkan embrio wagyu untuk digunakan bagi menghasilkan wagyu Malaysia dan jika berjaya, kita juga boleh menjadi pengeluar daging yang boleh dieksport ke luar negara,” katanya.

Projek ternakan lembu wagyu diperkenalkan di Pahang dan projek dijalankan di Tanjung Gahai dengan kerjasama pihak swasta Farm Fresh dengan diberikan pajakan tanah seluas 300 ekar untuk dimajukan dengan ternakan lembu wagyu.

“Kita juga menjalinkan kerjasama untuk mengembangkan industri akuakultur, baru-baru ini kita telah melihat dan meneliti bagaimana kaedah teknologi yang boleh digunakan untuk kita perkenalkan ikan tropikal yang bernilai cukup baik,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram