Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 7 OKTOBER 2022 : Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2.97 juta bagi memastikan industri penternakan Pahang terus berkembang dan kekal mampan demi memenuhi dasar keselamatan makanan negara.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebagai pengeluar utama daging lembu di Semenanjung Malaysia, pemerkasaan sokongan terhadap warga penternak dan industri hiliran adalah prasyarat yang mesti terus dikukuhkan.
“Justeru, melalui Jabatan Veterinar Negeri Pahang, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM2.97 juta.
“Negeri Pahang akan membangunkan satu pusat Kajian dan Penyelidikan (R&D) dan kilang bagi menghasilkan dedak ternakan. Sebanyak RM5 juta akan diperuntukkan untuk tujuan pengembangan penyelidikan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2023 yang bertemakan Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera di Wisma Sri Pahang, hari ini
Katanya, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang akan turut memperhebatkan Projek
Bumi Hijau Tanaman Fertigasi bagi membantu golongan rentan menambahkan pendapatan.
“Usaha ini telah dimulakan dengan projek rintis tanaman fertigasi cili bara oleh penghuni di Jalan Wong Ah Jang, Kuantan.
“Selain tu, Program Usahawan Tani Fertigasi akan diwujudkan dengan melibatkan 40 buah kampung di seluruh Pahang. Setiap 10 individu yang layak daripada setiap kampung tersebut akan menerima RM10,000. Keseluruhan projek ini akan menelan belanja sebanyak RM400,000.
“Selain bergantung kepada pengetahuan dan teknologi sedia ada, Kerajaan Negeri percaya wujud keperluan untuk kita terus meneroka bidang pertanian ini secara konsisten dan mendalam,” katanya.
Menurut beliau, melalui segala inisiatif dan usaha yang telah disusun, beliau berharap Pahang akan lebih bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan sambil memastikannegeri ini mempunyai bekalan makanan yang mencukupi. -PAHANGMEDIA