BELANJAWAN PAHANG : PAHANG PERUNTUK RM3.35 JUTA BANTU PETANI

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 7 OKTOBER 2022 : Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Pahang akan membelanjakan RM3.35 juta bagi membantu para petani di seluruh Pahang.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata peruntukan ini bagi meningkatkan pengeluaran makanan di negeri ini.

“Kerajaan Negeri akan memastikan para petani yang terlibat dalam pembangunan projek pertanian terancang, didedahkan dengan pelbagai teknologi pertanian terkini.

“Pendekatan precision farming iaitu konsep smart farming dan Internet of Things seperti penggunaan drone bukan sahaja mampu menjimatkan kos, malah berupaya meningkatkan kecekapan pengurusan ladang dan seterusnya meningkatkan pengeluaran hasil.

“Galakan juga akan diberikan kepada orang ramai untuk bercucuk tanam secara individu atau berkumpulan. Selain itu, penanaman baharu dan pemulihan projek bagi tanaman buah-buahan, sayur-sayuran, tanaman kontan, tanaman kelapa dan komoditi berpotensi akan diberi tumpuan,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika sesi ucapan Belanjawan Pahang Tahun 2023 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2023 yang bertemakan Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Beliau berkata bagi memastikan pengeluaran makanan seperti buah, sayur, dan tanaman kontan menepati piawaian serta selamat dimakan, bilangan Ladang Berstatus myGAP yang mengamalkan Good Agriculture Practice akan ditingkatkan.

“Selain itu, beberapa inisiatif lain akan turut dilaksanakan. Pertama, pengeluaran tanaman baharu yang berpotensi seperti sacha inchi, vanila dan buah tin akan dipertingkatkan dengan mengaplikasikan teknologi green house, dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

“Kedua, merancakkan penghasilan baka ternakan premium seperti lembu Wagyu, dengan peruntukan sebanyak RM3.4 juta. Pada masa yang sama, sebanyak RM3 juta lagi akan diperuntukkan kepada 300 Induk Baka bagi menjayakan inisiatif ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram