Oleh: Zulkhairil Zainuddin
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
PUTRAJAYA, 29 SEPTEMBER 2022: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 yang berakhir hari ini.
Baginda ketika bertitah pada majlis penutup simposium tersebut merakamkan penghargaan terhadap usaha semua pihak selama enam hari penganjuran simposium ini.

“Kepada ahli jawatankuasa yang telah berusaha dan bekerja sebagai satu pasukan, dari lubuk hati yang penuh ikhlas, saya mengucapkan terima kasih kepada mereka. Hari ini, kita harus meraikan kejayaan rancangan selama lima bulan acara itu.
“Terima kasih atas kerja keras anda bagi menjayakan acara ini,” titah baginda di Hotel Marriott Putrajaya, di sini hari ini.
Baginda juga bertitah, Malaysia terpaksa menunda penganjuran simposium ini yang sepatutnya diadakan pada tahun lalu akibat penularan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, selepas kerajaan mengumumkan negara beralih ke fasa endemik pada April lalu, baginda telah memutuskan untuk menganjurkan simposium itu pada tahun ini.
“Sebenarnya, Singapura sepatutnya menjadi tuan rumah, tetapi saya memohon kepada Singapura untuk memberi laluan kepada Malaysia,” titah baginda.
Pada majlis penutup itu, baginda menyerahkan bendera simposium secara simbolik kepada tuan rumah seterusnya iaitu Laos yang diwakili Duangmala Phommavong untuk simposium tekstil tradisional pada 2024.
Phommavong dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan menganjurkan simposium edisi ke-8 dan beliau telah memperoleh pengalaman menerusi keunikan dan kepelbagaian seni, budaya serta etnik di Malaysia.
Sementara itu, selesai sahaja perasmian penutup, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong bersama peserta simposium menaiki bas untuk mengadakan lawatan di tiga lokasi iaitu di Institut Kraf Negara di Rawang, Kompleks Kraf Kuala Lumpur dan akhir sekali di Galeri Prima, Bangsar, Kuala Lumpur.
Bertemakan “Celebrating Textiles: A Journey”, simposium yang di anjurkan oleh Yayasan Tenun Pahang Diraja itu mempamerkan keindahan tekstil tradisional termasuk songket dan batik, serta teknik pembuatan tekstil seperti tekat, tenun, telepuk dan menggerus untuk dipelajari oleh masyarakat dunia.-PAHANGMEDIA