Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
ROMPIN, 16 SEPTEMBER 2022 : Majlis Daerah Rompin menjadi PBT pertama di negeri Pahang yang mengaplikasikan penggunaan tenaga solar ke atas bangunan operasinya melalui perjanjian Renewable Energy Majlis Daerah Rompin bersama TNB dan GSPARX Sdn Bhd.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, usaha ini bakal memberi keuntungan kepada dua-dua pihak dan apa yang penting ialah usaha ke arah sustainable yang mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
“Projek berkeluasan 352 meter persegi yang pertama dipasang di atas bumbung dan ditanggung sepenuhnya oleh GSPARX ini selari dengan hasrat dan titah Pemangku Raja Pahang yang mahu pembangunan di negeri ini berasaskan konsep kelestarian Environment, Social and Governance (ESG).
“Kerajaan juga menggalakkan pelestarian dalam semua aktiviti termasuk juga penghasilan tenaga.
Selain daripada perjanjian yang dimeterai hari ini, saya juga akan membawa perkara ini ke pengetahuan YAB Menteri Besar Pahang supaya dapat dikembangkan ke PBT lain kerana ia memberi manfaat menghubungkan kaedah sama yang digunakan di daerah Rompin ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika hadir merasmikan dan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Supply Agreement For Renewable Energy (SARE) Majlis Daerah Rompin bersama TNB dan GSPARX Sdn Bhd di Dewan Golf Club, Villea Rompin Resort and Golf, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Dato’ Sri Haji Hasan Arifin, Yang Dipertua Majlis Daerah Rompin, Dato’ Ahmad Nasim Mohd Sidek, Pengurus Besar TNB Negeri Pahang, Datuk Baderul Sham Saad, Pengarah Urusan GSPARX Sdn Bhd, Encik Elmie Fairul Mahsuri dan Ketua Retail TNB Pahang, Cik Rozianis Mohd Noor.
Turut sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Muadzam Shah, YB. Ir Razali Kassim, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam,YB. Datuk Hajah Samsiah Haji Arshad serta Setiausaha Majlis Daerah Rompin, Encik Mohd Farid Abdul Manap.
Pemasangan panel solar di bangunan Majlis Daerah Rompin dengan jumlah kapasiti 88.32kWp ini menyaksikan PBT ini bakal menikmati penjimatan kos bil elektrik sebanyak RM630,725.00 untuk tempoh selama 20 tahun dan segala aspek penyelenggaraan dan pemantauan ditanggung sepenuhnya oleh GSPARX.
Dari aspek alam sekitar pula, pemasangan panel solar ini mampu mengurangkan kadar tahunan 83.9 tan metrik karbon dioksida yang bersamaan dengan pemerangkapan gas rumah hijau oleh 1,387 batang pokok dalam tempoh sepuluh tahun atau mengelakkan pembebasan karbon dari 18 buah kenderaan dalam setahun.
Dalam pada itu, Dato’ Abd Rahim berkata, setiap usaha yang dilakukan mungkin mengambil yang agak lama namun ia dilakukan secara terancang dan berterusan.
“Kalau ikut Sustainable Development Goals (SDG) atau Matlamat Pembangunan Mampan, memang jangka panjang kita akan menuju ke arah kelestarian dan ambil sedikit masa.
“Kerajaan Negeri telah menyemak keperluan tenaga solar tenaga yang sangat-sangat memberi manfaat.
Di Pahang ini dah ada panel solar di beberapa lokasi seperti di Gebeng dan Gambang, tapi yang atas bumbung ini yang terbaru bagi PBT.
Kita manfaatkanlah cuaca panas yang ada untuk jana tenaga solar di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Rompin, Dato’ Ahmad Nasim berkata pihaknya bangga kerana menjadi PBT pertama di negeri ini yang melaksanakan pemasangan solar di atas rooftop (bumbung).
“Kita nak jadi pemangkin usaha ini di negeri Pahang, selama ini kita fikir kos nak pasang panel dan sistem ini adalah sangat mahal, jadi kita nak tukar persepsi bahawa tenaga yang berdaya lestari ini tidaklah semahal yang disangka.
“Banyak skeptik, andaian dan timbul keraguan bahawa tenaga solar ini mahal dan tak balik modal.
Jadi kita nak buktikan bahawa sustainable energy ini adalah benar-benar sustainable pada hari ini dan bukan pada masa hadapan,” katanya. PAHANGMEDIA