Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 16 SEPTEMBER 2022 : Beberapa lokasi di Daerah Kuantan akan mengalami gangguan bekalan air dalam tempoh 48 jam bermula 20 September 2022 jam 8 pagi bagi membolehkan kerja-kerja penyambungan paip air mentah di Mahkota Golf & Country Club (MGCC) di Kuantan.
Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, kawasan-kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual adalah Beserah sehingga sempadan Chendor, Gebeng, Jabor, Semambu, Pelindung, Jalan Beserah, Alor Akar, Sri Kuantan, Kubang Buaya dan lokasi-lokasi di sepanjang laluan Jalan Teluk Sisek.
Selain itu, Bukit Sekilau, Jalan Bukit Ubi, Jalan Lim Hoe Lek, Jalan Haji Ahmad, Galing, Setali dan Air Putih turut mengalami gangguan sama.
“Seluruh kawasan Taman Fairmount, Bukit Beirut, Bukit Setongkol, Cenderwasih, kawasan RTP Bukit Goh dan sebahagian Tanjung Pasir juga akan berhadapan dengan masalah bekalan air dalam tempoh ini.
“Begitu juga kawasan Indera Mahkota (IM) 1, 2, 3, 5 dan 6, Kampung Tiram, KOMTUR, Pejabat Daerah dan Tanah, SBPI, Ibu Pejabat PAIP, Terminal Sentral, Bomba IM dan Widad turut terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.
Beliau berkata, meski pun bekalan air telah disambung, namun pemulihan perbekalan akan mengambil masa 48 jam secara berperingkat dan seterusnya sistem agihan bekalan air dapat distabilkan sepenuhnya.
Kerja-kerja penyambungan paip air ini melibatkan penyambungan paip air mentah ‘line pumping’ jenis Mild Steel Cement Lining (MSCL) bersaiz 1500mm yang akan dibuat secara paip pintasan (bypass) bagi mempercepatkan kerja pembaikan.
Encik Saiful Zaini berkata, PAIP akan memastikan kerja-kerja ini dapat dilaksanakan dengan teliti mengikut perancangan dan PAIP juga telah menyediakan pelan tindakan kecemasan dengan memastikan langkah-langkah awal persiapan telah dibuat bagi meminimakan impak gangguan kepada pengguna.
Bantuan alternatif seperti lori tangki dan tangki statik akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas.
Pengguna boleh mengemukakan sebarang pertanyaan di talian Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) di talian 09-573 9999. – PAHANGMEDIA