Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
PEKAN, 10 SEPTEMBER 2022 : Kerajaan Pahang akan menghantar laporan berkaitan pelan terperinci mengenai Rizab Biosfera Tasik Chini kepada Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris, Perancis minggu hadapan.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB. Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya difahamkan laporan berkenaan telah pun selesai dilakukan oleh Kerajaan Pahang bagi menentukan status rizab kawasan berkenaan.

“Kita diminta untuk mengemukakan laporan kepada pihak UNESCO sebelum 30 September. Dan saya difahamkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang telah siap membuat satu laporan terkini dan laporan itu akan dihantar sendiri oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang ke Paris, ke ibu pejabat UNESCO yang menguruskan perkara ini.
“Jadi kita yakin status UNESCO kepada Tasik Chini tidak terjejas dan kita akan memberikan penjelasan-penjelasan yang diperlukan oleh pihak mereka.

“Saya rasa dalam waktu terdekat ini, dalam minggu ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang bersama YB. Dato’ Sri Sharkar (Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang) akan pergi ke Paris untuk mengemukakan laporan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Penanaman Pokok dan Pengayaan Tasik Chini, Sempena Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta pokok di Tasik Chini di sini hari ini.
Sebanyak 1,000 pokok pelbagai spesis ditanam pada program berkenaan yang turut dihadiri oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin; Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin; dan Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli.

Beliau berkata pelbagai inisiatif pembaikpulihan telah dan sedang dilakukan bagi memastikan kawasan Tasik Chini ini kekal sebagai sebahagian Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR).
“Penambahbaikan ini banyak dengan salah satunya kita ada penghijauan bumi itu sendiri, yang mana ada tanah-tanah masih tidak ada pokok jadi ditanam pokok litupan bumi.
“Selain itu, penanaman pokok berkayu yang dimasukkan dalam statistik penanaman 100 juta pokok, menghentikan segala aktiviti perlombongan dan lesen-lesen melombong telah diberikan moratorium, selain kajian oleh pasukan penyelidik,” katanya. -PAHANGMEDIA