YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Felda, Suratan Hak Milik Felcra, dan Notis 5A di Dewan Felda Bukit Sagu 1, hari ini.

KERAJAAN PAHANG BERI KELULUSAN GUNA TANAH TERSEPIT DI FELDA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 11 SEPTEMBER 2022 : Kerajaan Negeri Pahang telah memberi kelulusan menggunakan tanah tersepit (pocket land) di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi pembinaan perumahan generasi keduanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Negeri menerima peruntukan RM1 bilion bagi tujuan ini daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Negeri telah memberi kelulusan, kebenaran supaya tanah tersepit tersebut boleh dibangunkan untuk tujuan perumahan generasi kedua Felda dan juga untuk belia-belia Felda.

“Ini adalah daripada peruntukan RM1 bilion (oleh Kerajaan Persekutuan). Kerajaan Persekutuan nak salur duit, tapi tanah tak ada. Jadi Kerajaan Negeri setuju bagi tanah-tanah yang tersepit ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Felda, Suratan Hak Milik Felcra, dan Notis 5A di Dewan Felda Bukit Sagu 1, hari ini.

Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak; Ahli Parlimen Paya Besar yang juga Timbalan Menteri Kewangan I, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, YB. Dato’ Md. Sohaimi Haji Mohamed Shah; dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Mejar (K) Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Menurut beliau sebanyak RM200 juta daripada peruntukan yang diberikan tersebut akan digunakan bagi membaikpulih rumah terbengkalai di kawasan Felda.

“RM1 bilion itu untuk tujuan pembangunan belia Felda dan juga rumah generasi kedua Felda. Daripada RM1 bilion tersebut, telah diperuntukan RM200 juta untuk rumah-rumah terbengkalai, yang mana sekarang ini dalam proses untuk kita bina secara berperingkat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan para penerima suratan hak milik berkenaan supaya tidak membuat perjanjian luar bagi menjual tanah yang diterima.

“Tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan yang menerima suratan hak milik hari ini. Jangan buat perjanjian di luar, perjanjian gelap untuk jual tanah ini.

“Saya dah bagi amaran mana-mana tanah yang telah diberi ini, kalau jual, kita senarai hitamkan, kita tak akan bagi dah lepas ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika berucap pada Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Felda, Suratan Hak Milik Felcra, dan Notis 5A di Dewan Felda Bukit Sagu 1, hari ini.

“Dan jangan buat perjanjian gelap, power attorney, yang siapa pun tak tahu, takut meninggal nanti isteri terkejut rupanya tanah dah dijual. Saya harap jangan buat macam ini kerana tanah ini satu benda yang terhad,” katanya.

Tambah beliau lagi, kurang 10 peratus atau 2,720 peneroka Felda di negeri ini yang masih belum menerima suratan hak milik tanah setakat ini daripada 43,126 peneroka di Pahang.

Seramai 675 penerima yang merupakan peneroka Felda Bukit Sagu 1, Felda Bukit Sagu 2, dan Felda Bukit Sagu 3 telah menerima suratan hak milik mereka hari ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram