Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang hari ini

MAHKAMAH SYARIAH DIMINTA KAJI HUKUMAN BAGI KONSEP DIYAT

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 05 SEPTEMBER 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan harapan supaya mahkamah syariah mengkaji hukuman dalam bentuk servis kemasyarakatan bagi konsep diyat.

Baginda bertitah bahawa cadangan pelaksanaan konsep diyat (pampasan kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan tindakan jenayah) dapat dilaksanakan di negara ini. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ketika Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang hari ini.



“Saya meminta hakim-hakim supaya mendalami dan mengkaji supaya hukuman-hukuman yang berbentuk komuniti servis juga perlu diambil kira kerana kadang-kala ada kesalahan yang nampak kecil dan tidak begitu besar supaya mereka berbakti kepada masyarakat.

“Sekurang-kurangnya tidak nampak ada penindasan terhadap mereka-mereka yang mempunyai masalah yang boleh diselesaikan secara budi bicara,” titah baginda ketika Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang di sini hari ini.

Turut berangkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad, barisan Exco Kerajaan Pahang; Ketua Hakim Syarie Pahang, YH. Dato’ Sri Abdul Rahman Md Yunos dan Mufti Pahang, YH. Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Othman.

Baginda bertitah usaha ini juga tidak akan mendiskriminasi mana-mana pihak dan ia juga selari dengan prinsip utama undang-undang syariah iaitu keadilan kepada semua pihak.

“Saya turut berharap agar banyak lagi usaha dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk mempertingkatkan institusi mahkamah syariah Malaysia. Saya juga menyambut baik dan amat menyokong sebarang usaha pemerkasaan mahkamah syariah.

“Berpandukan atas prinsip yang sama, mahkamah syariah juga mestilah bijak menggunakan kuasa budi bicara dan sentiasa berlaku adil kepada semua pihak dalam menjatuhkan hukuman terutamanya yang melibatkan kes-kes kekeluargaan.

“Prinsip keadailan menurut Islam adalah menjunjung amanah Tuhan dan bukannya mewakili kuasa Tuhan,” titah baginda.

Titah baginda lagi, kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ianya bakal dipertanggungjawabkan kelak.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah

“Keadilan Islam juga tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan sama ada diri sendiri, teman rapat, kaum keluarga, mahupun ibu dan bapa.

“Ketegasan prinsip keadilan Islam turut tidak membenarkan sebarang ketidakadilan kepada sesiapa jua, termasuk kepada golongan mereka yang tidak disenangi.

“Hakikatnya undang-undang hanya memiliki satu bahasa, satu prinsip, satu hukuman, dan satu aplikasi kepada sesiapa sahaja,”titah baginda.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda berkenan memasyhurkan kompleks bernilai RM44.75 juta yang siap dibina pada 23 September tahun 2021 dengan nama Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram