YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam dan Pengisytiharan Temerloh Titik Tengah Semenanjung di Dewan Tun Razak di Temerloh, hari ini.

PENGLIBATAN SEMUA PIHAK BANTU KERAJAAN NEGERI SEDIA PEMBANGUNAN MAPAN

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

TEMERLOH, 6 SEPTEMBER 2022 : Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RTD Temerloh 2035 (Penggantian) merupakan satu platform yang memberi peluang kepada semua pihak berkepentingan terutamanya penduduk daerah tersebut untuk menyemak, meneliti dan memberi maklum balas ke atas kandungan Laporan Draf RTD Temerloh 2035 (Penggantian) yang telah disediakan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia merupakan satu program yang sangat baik dan Kerajaan Negeri sememangnya memberikan komitmen yang tinggi bagi penyediaan Rancangan Pemajuan di seluruh Negeri Pahang.

“Tujuannya adalah untuk ada engagement dengan public (orang ramai), maknanya setiap program atau projek yang kita nak jalankan tu akan dipamerkan, dipaparkan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Dalam masa yang sama public boleh mengemukakan pandangan, pendapat ataupun bantahan. Ini adalah kaedah Kerajaan Negeri supaya kita tidak dituduh buat sebarang pembangunan tanpa maklumkan kepada rakyat.

“Jadi mereka boleh tampil untuk bagi pendapat mereka dan setiap pandangan kita akan ambil kira untuk kepentingan awam,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam dan Pengisytiharan Temerloh Titik Tengah Semenanjung di Dewan Tun Razak, hari ini.

Turut hadir Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Ketua Pengarah PLANMalaysia, TPr Dr. Alias Rameli dan Pegawai Daerah Temerloh, YH Dato’ Ali Syahbana.

Dalam pada itu Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, setiap tahun Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan pembangunan khusus bagi menampung kos penyediaan Rancangan Pemajuan oleh PLANMalaysia Negeri Pahang dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khasnya bagi Rancangan Tempatan yang telah tamat tempoh perancangan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam dan Pengisytiharan Temerloh Titik Tengah Semenanjung di Dewan Tun Razak di Temerloh, hari ini.

Pada tahun ini juga pihaknya sedang menyediakan dua lagi kajian RTD Penggantian iaitu bagi Daerah Maran dan Bera.

Katanya lagi, penyediaan RTD Temerloh 2035 (Penggantian) telah memberi peluang kepada Majlis Perbandaran Temerloh untuk menggubal hala tuju pembangunan baharu bagi mencapai status Majlis Bandaraya menjelang tahun 2035.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar titik tengah negeri Pahang turut dicari selain titik tengah daerah-daerah lain selepas pengisytiharan lokasi titik tengah Semenanjung Malaysia yang terletak di Kampung Paya Siput, Lanchang Temerloh.

“Tapi (usaha berkenaan) tidaklah berskala besar sebab tujuannya ialah untuk memberi pengetahuan dan maklumat mengenai titik tengah sesuatu daerah dalam negeri ini.

“Macam titik tengah Negeri Pahang kita dapat tau ia mungkin di Jengka atau Maran, tapi data yang tepat kena tunggu dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram