Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 19 OGOS 2022 : Jabatan Perikanan Malaysia melancarkan Kempen Laut Bebas Plastik di peringkat nasional bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai bahaya ancaman pencemaran plastik terutama mikroplastik.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, YBhg. Haji Mohd Sufian Sulaiman berkata, kempen ini antara lain bertujuan untuk melibatkan semua pihak yang terlibat di dalam sektor perikanan mengambil bahagian dalam kempen ini untuk memastikan bahawa plastik ini dapat dikutip dan tiada plastik di dalam perairan Malaysia.
Menurutnya, pihak jabatan juga memohon agar semua 20,000 nelayan di seluruh negara supaya dapat membantu perlaksanaan kempen ini dalam mengumpul dan melupuskan plastik yang dapat mengancam hidupan laut.
“Kepada nelayan yang pergi ke laut yang membawa apa sahaja berkaitan plastik, minuman atau makanan supaya tidak dibuang ke laut sebaliknya buang di tempat yang disediakan.

“Jika kita mendapat sambutan yang baik, kita akan memberi hadiah kepada persatuan nelayan kawasan yang mengutip plastik dan kita tengok sambutan nanti bagaimana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Pelancaran Kempen Laut Bebas Plastik di Pantai Sepat, Kuantan, pagi tadi.
Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Pengurusan Alam Sekitar Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA), Encik Eddy Mazuaansyah Mohd Ali Murad, Pengarah Perikanan Negeri Pahang, Encik Abdullah Jaafar dan Pegawai Daerah Kuantan, YM. Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.
Pelancaran Kempen Laut Bebas Plastik itu turut melibatkan kerjasama daripada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), KASA, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), nelayan setempat dan penduduk di kawasan Pantai Sepat.
Jelas Haji Mohd Sufian, kempen sama akan turut dilancarkan di setiap negeri supaya maklumat dapat disampaikan kepada semua pihak terhadap peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menangani ancaman mikroplastik.
Usaha oleh Jabatan Perikanan ini juga dilihat seiring dengan usaha KASA melalui Dasar dan Pelan Tindakan Sisa Marin Kebangsaan 2021-2030 bagi menangani isu pencemaran sisa plastik marin terutamanya sisa plastik negara yang berpunca dari darat dan laut melalui kaedah mengalihkan sisa plastik daripada persekitaran marin kepada pengurusan rantaian nilai plastik yang mampan. – PAHANGMEDIA