Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff bersama penerima Pahang Pride Kid

469 BAYI BARU LAHIR DI PEKAN TERIMA PAHANG PRIDE KID 2022

Oleh: Mahathir Ali

PEKAN, 19 OGOS 2022 : Program Anak Kebanggaan Pahang atau Pahang Pride Kid merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam menghargai setiap anak kelahiran Negeri Pahang yang lahir pada tahun 2022 ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sebanyak RM5 juta diluluskan untuk program ini yang memberi manfaat kepada 25,000 bayi baru lahir di seluruh Negeri Pahang.

Tiga penerima Pahang Pride Kid Daerah Pekan

“Pahang Pride Kid adalah idea YAB Menteri Besar yg bertujuan membantu para ibu bapa yang menerima cahaya mata baru tahun ini terutama dari sudut ekonomi dalam membesarkan anak-anak mereka dan meraikan kelahiran anak Kebanggaan Negeri Pahang.

“Setiap kelahiran di negeri Pahang tahun 2022 akan menerima pemberian bernilai RM200. Bayaran akan dibuat dalam simpanan bank berjumlah RM100 dan barangan penjagaan ibu dan bayi ketika berpantang juga sebanyak RM100,” katanya.

Beliau berkata demian selepas menyampaikan Pahang Pride Kid bagi Daerah Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah serta menanam anak pokok di Pantai Tanjung Selangor di sini.

Beliau berharap pendekatan Pahang Pride Kid ini menjadi pemangkin kepada peningkatan penduduk Pahang dimana setakat ini jumlah penduduk Pahang hanya mencecah 1.67 juta orang dan ianya masih sangat rendah jika dibandingkan negeri-negeri lain.

“Begitu banyak sekali bantuan dan sumbangan yang diberikan Kerajaan Pahang dibawah pimpinan YAB Menteri Besar demi kesejahteraan rakyat. Bukan hanya Pahang Pride Kid ini malah melalui Bantuan Prihatin Pahang ini sejumlah RM30 juta telah diperuntukan demi kesejahteraan rakyat terdiri pelbagai golongan dan lapisan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram