Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BERA, 1 JULAI 2022 : Hospital Bera mula beroperasi hari ini dengan pembukaan Unit Kecemasan dan Trauma terdahulu sementara unit-unit lain akan dibuka dan beroperasi secara berperingkat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, perkara berkenaan berikutan usaha melengkapkan setiap aspek di hospital tersebut masih dalam proses dan dijangka dapat beroperasi sepenuhnya pada April tahun hadapan.

“Bagi fasa satu ini, Unit Kecemasan beroperasi 24 jam sehari namun pesakit yang kritikal serta memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh berikutan operasi wad belum dibuka. Ini termasuk bagi kes-kes ibu mengandung yang akan bersalin.
“Bagi fasa berikutnya, klinik pakar akan mula operasi seawal bulan September depan dan pakar dari HoSHAS akan hadir mengikut jadual klinik untuk memberi rawatan kepada pesakit. Pesakit dari daerah Bera tidak lagi perlu menghadiri temujanji di HoSHAS bagi kebanyakan disiplin rawatan kepakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika taklimat dan lawatan melihat operasi hari pertama hospital tersebut yang telah menerima pesakit pertama pada pukul 8.20 pagi bagi mendapat rawatan di Unit Kecemasan akibat kemalangan jalan raya.
Turut hadir Pengarah Hospital Bera, Dr Mohammad Faaizzin Jamaluddin serta wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (JKM), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pegawai-pegawai terlibat.

Dalam pada itu, YB. Dato’ Sri Norolazali memaklumkan wad akan dibuka secara berperingkat pada bulan Oktober ini termasuk pembukaan Dewan Bersalin bagi kes ibu mengandung yang tidak memerlukan rawatan pakar dan pembedahan.
“Unit Hemodialisis pula dijadual akan dapat beroperasi pada April tahun depan memandangkan Unit Hemodialisis sedia ada memerlukan kerja-kerja penambahbaikan untuk membolehkan ia beroperasi. Dengan kapasiti tujuh buah mesin dialisis, ia dijangka boleh memanfaatkan sehingga 42 pesakit dialisis dalam satu masa.
“Namun, fasa pengoperasian ini sangat bergantung kepada pengisian anggota dan juga peralatan yang diterima dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, Hospital Bera akan beroperasi dengan pelbagai inovasi dan kaedah rawatan yang akan diimplementasikan termasuk sistem IT sepenuhnya untuk pengurusan pesakit, transaksi tanpa tunai, nombor giliran digital menggunakan aplikasi WhatsApp, remote ultrasound bersama pakar dari HoSHAS secara atas talian dan pelbagai lagi kaedah perkhidmatan terkini akan dilaksanakan.
“Apa yang diharapkan ialah warga Bera dapat bersabar dan terus memberikan sokongan sehingga Hospital Bera dapat beroperasi sepenuhnya. Setakat ini boleh dikatakan hospital ini beroperasi dalam keadaan minima, lebih kurang Klinik Kesihatan cuma bezanya hospital beroperasi 24 jam.
“Besar harapan terhadap rakyat terutamanya komuniti di daerah Bera agar faham dan memberi maklumbalas serta sokongan untuk penambahbaikan dari semasa ke semasa sehingga ia dapat beroperasi sepenuhnya nanti,” katanya.
Hospital Bera adalah Hospital Daerah Tanpa Pakar, dengan kapasiti 40 katil dan diletakkan di bawah Program Hospital Kluster Pahang Tengah yang diterajui oleh HoSHAS, Temerloh.
Antara rawatan yang disediakan adalah termasuk Unit Kecemasan dan Trauma
Dewan Bersalin, Unit Pesakit Dalam dengan 40 katil, Unit Hemodialisis
Unit Rehabilitasi serta Unit Forensik, selain dilengkapi dengan Unit Farmasi,
Unit X-ray serta Unit Makmal Patologi. -PAHANGMEDIA