Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran Tenun Pahang Diraja, sempena London Craft Week (LCW), di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London, United Kingdom semalam.

KDYMM PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE LONDON CRAFT WEEK

KUANTAN, 10 MEI 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran Tenun Pahang Diraja, sempena London Craft Week (LCW), di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London, United Kingdom semalam.

Istana Negara dalam satu hantaran berkata, London Craft Week (LCW) yang berlangsung dari 9 hingga 15 Mei 2022 itu menyaksikan lebih 300 koleksi Tenun Pahang Diraja hasil kerja tangan banduan dari Penjara Penor dan Penjara Bentong, Pahang dipamerkan, termasuk pilihan pakaian Seri Paduka Baginda sendiri, serta koleksi rekaan dan tenun peribadi.

Bertemakan “Menyulam Harapan”, pameran turut menampilkan fabrik arkib dari Muzium Pahang dan koleksi baju kurung dan samping Riau-Pahang serta penenun yang merupakan bekas banduan penjara.

Seri Paduka Baginda yang juga penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja menzahirkan harapan agar ianya bukan sahaja menghidupkan Tenun Pahang, malah mempertahankan kelangsungan seni tenun, di samping memberi sinar baharu kepada banduan menerusi program tenunan penjara.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Jabatan Penjara, Institut Kraf Negara dan jabatan berkaitan, kerana ‘memberi harapan dan peluang kedua’ bukan sahaja untuk industri tenunan tertua untuk terus hidup, malah juga untuk membina kehidupan baharu bagi banduan.

Diterajui Seri Paduka Baginda, majlis dan pameran dianjurkan oleh Yayasan Tenun Pahang Diraja dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara, Muzium Pahang dan Kraftangan Malaysia.

Hadir sama di majlis pelancaran ini, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Encik Zakri Jaafar; Komisioner Jeneral Jabatan Penjara, Dato’ Nordin Muhammad dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Aididah Ibrahim.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin dan YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin. 

Sementara itu, Bernama melaporkan, Malaysia adalah salah sebuah daripada dua negara terpilih untuk menjayakan Pavilion Negara, yang ditampilkan bagi mengukuhkan festival itu sebagai platform berkongsi perspektif global, dan menyerlahkan perhatian terhadap London sebagai hab antarabangsa untuk mempertemukan pembuat dan kreativiti cemerlang dari seluruh dunia.

Diterajui KDYMM Raja Permaisuri Agong, pameran itu mengetengahkan program tenunan dari penjara, yang menampilkan tenunan tradisional lengkap dengan penenun bertugas, fabrik arkib dari Muzium Pahang dan pilihan pakaian Tunku Azizah sendiri, serta koleksi Tenun peribadi.

“Semua ini adalah berkaitan menyulam harapan. Kisah ini sendiri adalah mengenai harapan hari ini… kami berharap dapat menghidupkan semula sulaman Tenun Pahang,” titah Seri Paduka Baginda semasa melancarkan Pameran Tenun Pahang Diraja di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square.

“Harapan saya adalah untuk menghidupkan semula tenunan (Tenun Pahang), dan harapan saya untuk seni tenun bertahan, semuanya bergantung kepada banduan (menerusi program tenunan penjara).

“Mereka adalah harapan saya untuk kelangsungan seni tenun. Mereka yang menjayakannya, dan kerana mereka, kini terdapat lebih 200 penenun,” titah baginda yang membandingkan 15 penenun lama di Pahang pada 2006,” titah baginda lagi.

Baginda yang merupakan penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja dalam titahnya menyuarakan rasa cukup teruja terhadap prospek mempamerkan tradisi tenunan Pahang yang berkurun lamanya, disifatkan baginda sebagai “membawa Penjara Penor dan Penjara Bentong (kedua-duanya di Pahang) ke London.”

Baginda bertitah tenunan itu dibawa baginda dari penjara kerana baginda mahu dunia tahu mengenai kerja-kerja yang dilakukan mereka.

“Kita latih mereka (banduan), untuk menyediakan mereka apabila dibebaskan nanti, untuk kelangsungan hidup mereka.

“Ini adalah sebahagian daripada persediaan kami untuk pembinaan Perkampungan Al-Sultan Abdullah yang akan dibangunkan di Pekan – yakni sebuah pusat tumpuan yang boleh didatangi semua bekas banduan. Kita sediakan bengkel bagi membantu mereka menjual hasil tangan mereka,” titah baginda.- PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram