Oleh : Fairus Mohd
PEKAN, 10 MEI 2022 : Seramai 949 orang Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan empat Dewan Negeri, 13 buah mukim dan 42 buah kampung di daerah ini menerima Bantuan Barangan Keperluan Asas (BBKA) Negeri Pahang berjumlah hampir RM 2.38 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sumbangan BBKA ialah bantuan kewangan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi mereka yang terjejas banjir pada akhir tahun 2021 dan awal tahun ini.
“Bantuan berjumlah RM2,500 bagi setiap penerima ini diberikan untuk mereka membeli barangan keperluan kediaman selepas mengalami kerugian akibat bencana berkenaan.
“Kita harapkan bantuan ini dapat meringankan beban semua mangsa banjir yang terlibat terutamanya dalam menyediakan kembali keperluan asas rumah yang musnah sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis bantuan berkenaan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, di sini baru-baru ini.
Pada majlis sama beliau turut menyampaikan sumbangan Baikpulih Rumah yang disalurkan NADMA melalui Pejabat Pembangunan Negeri kepada 19 penerima dengan peruntukkan berjumlah RM31,560.00.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Daerah Pekan, Dato’ Hj Zainal Abidin Mohd Amin, wakil Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, wakil Majlis Daerah Pekan (MDP), penghulu serta ketua kampung yang terlibat.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob melalui pendekatan Keluarga Malaysia yang telah banyak membantu rakyat pelbagai golongan terutama mereka yang dalam kesusahan.
Penghargaan sama turut ditujukan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail yang tidak putus-putus menghulur pelbagai bantuan demi membela nasib rakyat negeri ini. -PAHANGMEDIA