Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PUTRAJAYA, 26 APRIL 2022: “Hari ini merupakan hari yang bersejarah kerana kira-kira RM2.1 bilion hutang Kerajaan Negeri Pahang terhadap Kerajaan Persekutuan dihapus kira.”
Itu kata YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail mengenai Perjanjian Tambahan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air yang ditandatangani pada hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang terus berusaha menyediakan bekalan air kepada rakyat dengan lebih cekap melalui perjanjian tambahan ini.
Menurut beliau, usaha berkenaan menyaksikan komitmen Pahang terhadap usaha menyelesaikan segala isu berkaitan pengurusan air.

“Ini adalah satu event (peristiwa) yang besar dan bersejarah bagi Kerajaan Negeri Pahang dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan kita rasa cukup bertuah kerana dengan adanya perjanjian ini Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) boleh membelanjakan sebanyak RM940 juta secara berperingkat.
“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Menteri, Timbalan Menteri KASA, Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan semua pihak yang telah berusaha menjadikannya satu kenyataan.
“Air ini adalah projek yang tak habis atau endless project, baiki paip ini, paip sana rosak, loji-loji perlu dinaiktaraf. Jadi dengan adanya peruntukan daripada PAAB memudahkan kita merancang kerja-kerja untuk memberi perkhidmatan bekalan air kepada masyarakat di negeri Pahang.
“Ia menjadikan kerja-kerja lebih lancer. Seperti yang saya cakap dalam dewan (Dewan Negeri) baru-baru ini, apa yang kita rancang, kita usahakan dan InsyaAllah akan dapat kita selesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang di Kementerian Alam Sekitar dan Air, di sini hari ini.
Perjanjian tambahan ini telah ditandatangani oleh empat pihak iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang mewakili Kerajaan Persekutuan; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak mewakili Kerajaan Negeri Pahang; Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) Encik Abdul Hadi Ali, dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari.
Sesi menandatangani perjanjian tambahan tersebut disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato’ Mansor Haji Othman serta Pengerusi Pengarah Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), YB. Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH Dato’ Razihan Adzharuddin,
Dengan termeterainya perjanjian tambahan tersebut, pelaksanaan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang boleh dikuatkuasakan.
Antara intipati utama perjanjian tambahan ialah pemberian moratorium kepada PAIP bermula daripada kenaikan taraf air dan menetapkan tempoh lima tahun penangguhan pinjaman berkuatkuasa mulai tarif kenaikan tarif air di Negeri Pahang dilaksanakan.
Penyempurnaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Pahang tidak memberi implikasi kewangan secara langsung kepada Kerajaan Persekutuan dan masih berpegang kepada persetujuan perlaksanaan hapus kira pinjaman bekalan air luar bandar kepada negeri Pahang yang berjumlah RM1 bilion.
Selain itu, PAIP juga mendapat akses kepada kemudahan pinjaman PAAB bagi pembangunan aset-aset air di negeri Pahang berdasarkan pendekatan build and lease pada kadar kompetetif berbanding pembiayaan komersial.
Ia juga membolehkan PAIP memulakan penambahbaikan kecekapan dan peningkatan kualiti perkhidmatan air kepada pengguna dengan pembinaan loji rawatan air baharu, naiktaraf loji rawatan air sedia ada serta penggantian paip dan sistem agihan.
Pada 23 Disember 2020, Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan telah menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang di mana hutang Kerajaan Pahang dengan Kerajaan Persekutuan untuk kerja-kerja berkaitan perkhidmatan bekalan air selama ini sebanyak kira-kira RM2.074 bilion dihapus kira dan dinovasikan.
Menerusi perjanjian ini, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan Hapus Kira Hutang Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) sebanyak kira-kira RM 1.001 billion yang merupakan sebahagian daripada keseluruhan hutang bekalan air Kerajaan Negeri sebanyak kira-kira RM 2.074 billion.
Baki hutang sebanyak kira-kira RM 1.073 billion lagi turut dihapus kira yang dinovasikan dengan ditanggung kini oleh Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB).- PAHANGMEDIA