YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak di Lorong Wong Ah Jang di Kuantan

PEMUTIHAN IMEJ LORONG WONG AH JANG SATU USAHA KE ARAH INTERVENSI SOSIAL

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 26 APRIL 2022 : Imej Lorong Wong Ah Jang yang sebelum ini merupakan kawasan hitam dengan aktiviti sosial kini telah berjaya diubah menjadi kawasan putih dalam usaha Kerajaan Pahang menjadikan kawasan ini sebagai kawasan intervensi sosial.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata perubahan imej positif kawasan ini kini merupakan satu usaha berterusan oleh Kerajaan Pahang.

“Yang penting kawasan ini sekarang bersih. Dulu bila sebut Lorong Wong Ah Jang, orang akan kaitkan dengan masalah sosial, gaduh, main judi, dan sebagainya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika melawat peniaga di Lorong Wong Ah Jang di Kuantan

“Tapi sekarang Kerajaan Negeri telah menukarkan imej kawasan ini kepada satu imej yang positif di mana sekarang dah ada surau, dan anak-anak yang ada di sini telah kita ambil perhatian, kita bantu mereka. Dan Alhamdulillah sudah mula nampak kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat para peniaga pada Program Santai Moreh di Lorong Wong Ah Jang di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin; dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, YH. Encik Zulkhari Zainol Abidin.

Beliau turut meminta urusan pengambilan semula bangunan di kawasan ini oleh Yayasan Pahang dapat diselesaikan dalam kadar segera.

“Bangunan ini telah diambil balik di mana Yayasan Pahang telah setuju untuk membelinya. Saya harap urusan dan pengambilan balik dapat diselesaikan dengan segera.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada pihak MBK yang membenarkan peniaga gerai di situ berniaga secara percuma tanpa dikenakan bayaran bagi memastikan kawasan ini menjadi kunjungan orang ramai.

Beliau dalam lawatan tersebut turut menyampaikan sumbangan kepada 100 individu melibatkan 60 kanak-kanak dan 40 dewasa di lorong berkenaan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram