Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain ketika melihat sendiri keadaan semasa jambatan gantung di Kampung Rekoh, di Rompin.

JAMBATAN GANTUNG KAMPUNG REKOH DIBERI PERHATIAN

Oleh : Fairus Mohd

ROMPIN, 17 APRIL 2022 : Keadaan jambatan gantung Kampung Rekoh yang semakin uzur selepas beberapa kali dilanda bencana banjir mendapat perhatian pemimpin setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, jambatan gantung ini masih digunakan penduduk setempat walaupun keadaannya semakin tidak selamat.

“Saya difahamkan ada tiga kemalangan jiwa iaitu jatuh jambatan melibatkan kanak-kanak di sini dan saya fikir tindakan serius dan sewajarnya perlu dilakukan bagi mengatasi kejadian ini daripada berulang.

“Kos untuk membaiki jambatan gantung ini ialah dianggarkan sekitar RM800,000 ke RM1 juta dan saya telah minta Pejabat Daerah dan Tanah Rompin untuk segerakan laporan dan atas inisiatif YAB Menteri Besar Pahang untuk menyalurkan peruntukan secepat mungkin untuk bina semula jambatan gantung ini,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain ketika melihat sendiri keadaan semasa jambatan gantung di Kampung Rekoh, di Rompin

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika melihat sendiri keadaan semasa jambatan gantung di Kampung Rekoh, di sini.

Turut sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, YB. Datin Shamsiah Arshad, Pegawai Daerah Rompin, YH Dato’ Ahmad Nasim Dato’ Haji Ahmad Sidek, wakil agensi terlibat serta pemimpin setempat.

Dalam pada itu, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari berkata, cadangan berkenaan pembinaan jambatan konkrit di kawasan sama turut akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri bagi tindakan selanjutnya.

Keadaan semasa jambatan gantung di Kampung Rekoh, di Rompin

“Anggaran bagi pembinaan jambatan konkrit itu adalah lebih RM8 juta dan ia dilihat sebagai satu keperluan yang lebih menjamin keselamatan penduduk yang mahu menyeberangi sungai ini.

“Jambatan gantung pula dibaiki sama ada menjadi tarikan pelancong ke kawasan ini selain menjadi kajian sejarah mahupun terus boleh dilalui penduduk seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Rekoh, Encik Said Haji Ibrahim yang ditemui berkata, jambatan gantung berkenaan masih digunakan oleh penduduk kampung yang ingin menyeberangi Sungai Keratong. Di kampung ini ada seramai 487 orang penduduk terdiri daripada 170 buah keluarga.

“Jambatan gantung ini dari tahun 2006 menjadi penghubung antara Kampung Rekoh Lama dan Kampung Rekoh Baru malah anak-anak sekolah mahupun penduduk yang mencari rezeki bergantung kepada jambatan ini untuk menyeberang sungai.

“Namun, jambatan ini akan rosak teruk setiap kali bencana banjir melanda, jadi jika ada jambatan konkrit baru boleh rancang buat perumahan dan sebagainya di sebelah Kampung Rekoh Lama yang kini tiada lagi penduduk yang tinggal di sana,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram