YAB. Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan sumbangan tabung JPKK kepada JPKK Jerkoh pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri PKPP di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis hari ini.

KERAJAAN NEGERI LUPUS 80 PERATUS HUTANG TANAM SEMULA KELAPA SAWIT RANCANGAN TANAH PEMUDA DAN LADANG KECIL

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

LIPIS, 16 APRIL 2022 : Kerajaan Negeri Pahang hari ini mengumumkan pelupusan 80 peratus hutang tanam semula kelapa sawit di Rancangan Tanah Pemuda (RTP) dan Ladang Kecil melibatkan 194 orang peserta.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelupusan hutang berkenaan melibatkan enam RTP dan Ladang Kecil milik peserta terlibat yang diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) sejak tahun 1971 iaitu RTP Sg Ular di Lipis, RTP Klau di Raub, RTP Sepayang di Rompin, RTP Gemuruh di Pekan, RTP Kg Awah di Bera dan Ladang Kecil Sg Charu di Kuantan dengan implikasi kewangan sebanyak RM11.12 juta.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri PKPP di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis hari ini.

Beliau berkata, purata pelupusan hutang mengikut individu berdasarkan jumlah minimum adalah sebanyak RM8,000 hingga jumlah maksimum RM131,000, berkuatkuasa mulai 1 Jun 2022.

Katanya, mana-mana peserta yang telah melangsaikan hutang mereka, PKPP akan bagi rebat balik sebanyak 20 peratus.

“Saya berharap agar pelupusan hutang dan pulangan rebat bayaran ini dapat meringankan beban para peserta untuk meneruskan kehidupan.

“Ini adalah satu usaha yang dibuat oleh PKPP di mana kita memikirkan bahawa kebajikan peserta itu sangat penting di samping bantuan-bantuan lain seperti van jenazah, lori tiga tan dan sebagainya, katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri PKPP di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar I, YB Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Mohamad, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi PKPP, Dato’ Suhaimi Mohd Yunus, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala semantan, YB. Dato’ Nor Azmi Mat Ludin, Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long serta Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan lori 3 tan kepada Koperasi Kampung Dusun Lipis Berhad untuk program Desa Lestari di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri PKPP di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis hari ini.

Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut mengumumkan keputusan menaikkan dividen peserta di Kampung Peruang bagi membantu mereka menjalani kehidupan lebih baik.

“Pada hari ini juga kita bersetuju untuk menaikkan (dividen) di Kampung Peruang di mana peserta sebelum ini dapat RM750 kita naikkan kepada RM1,000. Ini juga atas permintaan ADN Benta (YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi) yang juga exco Kerajaan Negeri.

“Sebenarnya kita telah mengkaji perkara ini dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk diumumkan,” katanya.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan dua van jenazah kepada Masjid Tanjung Gahai dan Masjid Kampung Beletik pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri PKPP di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis hari ini.

Dalam pada itu beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar di mana banyak peruntukan yang disalurkan melalui PKPP antaranya menerusi Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) bagi menaiktaraf loji air di Kuala Medang sebanyak RM6 juta dan juga beberapa projek yang lain.

“Saya juga berharap dengan bantuan hari raya hari ini sebanyak RM700 bagi setiap peserta akan dapat membantu meringankan bebanan mereka untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram