Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
BERA, 16 APRIL 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan semua pihak supaya tidak membawa fahaman politik ke dalam masjid.
Baginda bertitah ini kerana masjid merupakan tempat yang suci tanpa mengira latar belakang, pekerjaan, warna kulit mahupun fahaman dan merupakan tempat masyarakat untuk bersatu padu.

“Maka bersesuaian dengan majlis perasmian masjid, dan berbuka puasa pada hari ini, marilah kita mengambil iktibar bahawa masjid adalah tempat terbaik untuk kita semua bersatu padu.
“InsyaAllah perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam, lebih-lebih lagi orang Melayu kita boleh diselesaikan jika kita satukan hati di rumah Allah SWT ini.
“Saya bertitah jangan sesekali membawa fahaman politik ke dalam masjid,” titah baginda sempena Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Al-Mutaqqin Mengkarak, Bera hari ini.

Masjid baharu ini dibina pada 17 Mac 2014 dan telah digunakan pada 11 Mei 2016 dengan peruntukan sebanyak RM1,399,990 boleh memuatkan 350 jemaah.
Baginda turut berkenan menyampaikan zakat kepada 100 orang penduduk serta menyampaikan kurniaan komputer riba kepada 10 orang anak asnaf pada majlis sama.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr.Haji Abdul Rahman Haji Osman.
Baginda turut bertitah supaya rakyat di Negeri Pahang berusaha menjauhi salah faham dan kemelut kepentingan.

“Ramadan adalah madrasah yang mendidik jiwa agar menjadi lebih bertakwa. Oleh itu, sifat-sifat mazmumah hendaklah dihindari, manakala sifat mahmudah perlu dijadikan amalan.
“…saya mengingatkan umat Islam janganlah berbalah antara satu sama lain, sebaliknya haruslah bersatu padu dan bermuafakat,” titah baginda.
Baginda turut menitahkan rakyat di negeri ini mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selain daripada dijadikan amalan oleh Kerajaan Pahang.
“Antara yang boleh diamalkan ialah, jangan bazirkan makanan, elektrik, mahupun sumber air; amalkan inisiatif kitar semula, mengurangkan pencemaran seperti tidak membakar sampah; dan mengurus pembukaan tanah-tanah dengan baik seperti tidak menebang pokok.
“Begitu juga dengan jawatankuasa mukim, kampung dan masjid. Prinsip ESG iaitu tadbir urus dan integriti yang baik perlu menjadi amalan. Saya tidak mahu melihat jawatankuasa di peringkat akar umbi ini bergaduh dan berpecah belah.
“Lumrah kita sebagai manusia mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza-beza. Namun ianya tidak harus menjadi sebab untuk kita berpecah dan bertelingkah. Duduklah semeja dan bermusyawarah dengan baik. Allah SWT memberi kita akal untuk berfikir dengan sebaiknya,” titah baginda. -PAHANGMEDIA