Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim dan Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi (praktikal)
KUANTAN, 1 APRIL 2022 : Seramai 539,990 orang atau 51.4 peratus daripada 1,050116 orang yang layak di negeri ini telah menerima suntikan vaksin dos penggalak setakat bulan 21 Februari 2022.
Pengerusi Jawatankuasa KerjaRaya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, angka berkenaan berpunca daripada beberapa sebab yang dikenalpasti menjadi punca ia tidak mencapai angka penerima yang lebih tinggi.
“Antara sebab yang dikenalpasti ialah segelintir masyarakat didapati tidak yakin dengan keberkesanan vaksin yang mampu memberi perlindungan optimum dan dapat mengurangkan keterukan jangkitan Covid-19.
“Ia diburukkan lagi dengan kesan Vaccine Mongering atau ditakut-takutkan oleh vaksin dalam sebilangan masyarakat berikutan penyebaran video-video tular di media sosial termasuk penyebaran isu berunsur fitnah yang dikaitkan secara melulu dengan kesan sampingan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong pada sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata beberapa langkah penambahbaikan diambil bagi menggalakkan orang ramai untuk mendapatkan dos berkenaan seperti membuat aktiviti suntikan outreach terutama kepada kumpulan sasar tertentu seperti warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kumpulan yang mempunyai masalah kesihatan tertentu (morbid).
“Jabatan Kesihatan Negeri Pahang juga giat melakukan aktiviti advokasi dan promosi melalui pelbagai medium sebaran selain menganjurkan sesi libat urus bersama komuniti di lapangan dengan penglibatan Jabatan Agama Islam Pahang, ketua-ketua rumah ibadat, ketua kampung dan ketua komuniti setempat.
“Selain itu sebagai memudahkan caram setiap PPV juga menerima pelanggan yang hadir secara walk in untuk divaksin,” katanya. – PAHANGMEDIA