Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 31 MAC 2022 : Kerajaan Pahang komited membantu memulihkan sektor pelancongan yang terkesan teruk ekoran pandemik COVID-19 dengan memperuntukkan RM2 juta bagi menaiktaraf dan membaikpulih infrastruktur dan kemudahan pelancongan di seluruh Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin berkata, sehingga kini lebih RM1.8 juta telah diberikan kepada beberapa daerah iaitu Kuantan (RM500,000), Maran (RM100,000), Raub (RM288,300), Jerantut (RM246,848.72), Kuala Lipis (RM75,000), Rompin (RM100,000), Bentong (RM400,000) dan Bera (RM111,720).
“Selaras dengan tema baharu pelancongan Pahang iaitu “This is Pahang – Unlimited” sektor pelancongan di negeri ini memerlukan produk pelancongan berasaskan semulajadi yang semakin digemari melalui penganjuran “Pahang Hiking Day”, baru-baru ini.
“Satu produk baru pelancongan iaitu “Astro-tourism : Pahang Amazing Sky” baru sahaja dilancarkan sebentar tadi oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rodsy Wan Ismail dalam usaha membantu meningkatkan ekonomi setempat khususnya di kalangan pengusaha pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja Sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini.
YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar berkata, bagi memelihara khazanah warisan di negeri ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM18.8 juta bagi menaiktaraf muzium-muzium di Pahang, Kajian dan Pembangunan Artifak, Muzium Masjid Sultan Abdullah, Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al Sultan Abdullah (Al Asar), Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah Kampung Pulau Keladi dan Projek Pembangunan Pulau Beram, Pekan.
Kerajaan negeri juga telah mencapai kejayaan dalam pemuliharaan Sungai Ichat di Cameron Highlands yang kini merupakan antara 98 daripada 242 sungai di Pahang yang berada pada Kelas 1 bagi tahap kebersihan air sungai.
Beliau berkata, kerajaan juga sentiasa melakukan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bagi menghalang kawasan yang dilindungi daripada pencerobohan.
Dalam pada itu, jelasnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang juga telah berjaya menjalankan 1,787 pemeriksaan terhadap premis-premis di negeri ini di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Beliau berkata, terdapat juga lapan kes pencerobohan di tahan kerajaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 yang melibatkan Tindakan Penguatkuasaan di bawah Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).
YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar berkata, kerajaan juga telah menjalankan kajian berhubung peningkatan aliran Sungai Semantan dengan kos RM1.02 billion melibatkan tiga fasa.
Beliau berharap agar segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini sekaligus memahat sejarah gemilang dalam industri pelancongan dan peneraju industri perladangan dengan cakna terhadap kelestarian alam sekitar dan biodiversiti. – PAHANGMEDIA