Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 29 MAC 2022 : Sebanyak 74 bot nelayan Vietnam ditangkap sejak 2019 hingga 2021 kerana menceroboh perairan Negeri Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. dato’ Sr. Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak berkata, kes pencerobohan masih ketara meskipun kerajaan menguatkuasakan undang-undang untuk mengawal keselamatan lautan di Pahang.
“Ini terjadi kerana beberapa faktor antaranya adalah sumber ikan di perairan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia masih kaya dengan sumber perikanan selain tangkapan ikan di perairan Malaysia yang bernilai tinggi di negara mereka.
“Malah, kapasiti kakitangan penguatkuasaan yang terhad serta faktor logistik seperi status dan kelengkapan bot atau kapal ronda turut menyumbangkan kepada pencerobohan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Negeri (ADN) Teruntum, YB. Encik Sim Chon Siang pada sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5, Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Menurutnya, pencerobohan nelayan asing di perairan Malaysia adalah kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) iaitu menangkap ikan dalam perairan Malaysia dan Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 yang jika disabitkan kesalahan tekong atau nakhoda boleh didenda RM6 juta manakala anggota kru sebanyak RM600,000 atau jika gagal, pesalah nelayan asing boleh dipenjarakan. – PAHANGMEDIA