YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika sesi perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

SIDANG DEWAN: KERAJAAN NEGERI BATAL 23,000 HEKTAR PROJEK LADANG HUTAN

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 29 MAC 2022 : Kerajaan Negeri telah membatalkan 23,000 hektar kelulusan projek ladang hutan pada Julai tahun lalu, kata YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Ia dinyatakan bagi menjelaskan kenyataan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Semambu, YB. Encik Lee Chean Chung yang mengatakan bahawa banyak projek ladang hutan dilaksanakan bagi menutupi aktiviti pembalakan.

Kenyataan balas berkenaan disuarakan Menteri Besar pada sesi perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Berkenaan penjagaan hutan, Pahang memiliki 57.07 peratus daripada 3.6 juta hektar keluasan negeri Pahang yang tidak diusik dan dikekalkan sebagai hutan simpan.

Menurut kenyataan Dato’ Sri Haji Wan Rosdy sebelum ini, Pahang kehilangan hasil apabila tidak membenarkan pembalakan atau (perlombongan) sumber mineral di kawasan terbabit namun tindakan tegas tetap dilakukan.

Beliau berkata, usaha mengekalkan (kawasan hutan simpan) tetap dilakukan dan ia memberi manfaat kepada negeri berjiran yang mendapat bekalan sumber air melalui kawasan berkenaan.

Katanya lagi, Kerajaan Pahang akan terus mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan hutan di negeri ini terus terpelihara sebaik mungkin. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download