Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
BENTONG, 18 MAC 2022 : Tindakan bagi menghalang banjir daripada berlaku kembali di kawasan sekitar Bentong sedang berada pada fasa awal buat masa ini selepas kejadian banjir yang lalu namun akan dilaksanakan segera
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata tindakan ini adalah inisiatif Kerajaan Pahang bersama Kerajaan Persekutuan.
“Dan ini sebenarnya Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan telah mengambil beberapa inisiatif untuk menyekat atau menghalang banjir kilat ini tapi masih belum dapat dibuat lagi sebab baru tindakan awalan.
“Contohnya kita mendalamkan sungai di surau tadi (Surau Kampung Benus) yang berlaku banjir.
“Dan hari ini saya datang untuk lihat, untuk mengetahui kenapa banjir kilat ini berlaku, mungkin ada perkara-perkara jangka masa pendek yang boleh diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika melawat Kampung Benus dan Kampung Chegar Medang yang dilanda banjir kilat.

Turut hadir, Setiausaha Sulit Kanan YAB Menteri Besar, YH. Dato’ Haji Mohd Yusli Ibrahim Mohd Yunus; Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohd Zulkifli Hashim; dan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar.
Beliau berkata Kerajaan Pahang juga telah menghulurkan bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi kerajaan.
“Alhamdulillah selain PKOB (Pusat Kawalan Operasi Bencana) yang dibuka dengan serta merta, Kerajaan Negeri telah pun menghulurkan bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantuan-bantuan asas seperti makanan, kain selimut, tilam dan sebagainya kepada mangsa banjir.
“Dari segi bantuan lain, kita akan beri contohnya bantuan untuk mencuci, pembersihan dan sebagainya dan dah ada agensi kerajaan yang menghulurkan bantuan seperti Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) untuk bersihkan surau di Kampung Benus,” katanya.
Tambah beliau lagi, pihaknya juga akan meminta kontraktor terlibat bagi penyelenggaraan siren banjir untuk menyegerakan penyerahan kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Kita ada sistem siren yang masih belum lagi siap sepenuhnya di peringkat kontraktor yang belum menyerahkan kepada pihak JPS yang bertanggungjawab.
“Jadi insyaAllah dalam masa terdekat dan kalau boleh kita minta segerakan supaya kontraktor tersebut dapat menyerahkan kepada JPS,” katanya.
Seramai 612 mangsa daripada 140 keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bukit Piatu namun telah kembali ke kediaman masing-masing tengah hari ini. -PAHANGMEDIA