Oleh : Fairus Mohd
Foto : Mahathir Ali
PEKAN, 18 MAC 2022 : Hanya linangan air mata mampu menggambarkan betapa terharu dan bersyukur Puan Marjana Mohd Saad dari Kampung Kuala Mentiga, di sini kerana terpilih menerima rumah bantuan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Wanita berusia 53 tahun yang selesa digelar Makde ini memiliki lapan orang anak angkat dan sembilan orang cucu mengakui bantuan daripada MUIP ini merupakan suatu rahmat dari Allah SWT kerana terpilih daripada beribu-ribu lagi insan yang memerlukan.
“Saya berasa cukup terharulah pada hari ini bila pihak MUIP datang nak bagi rumah sebab Makde pernah mengalami kemalangan, tangan patah, kaki patah, dah lumpuhlah orang kata tapi berkat doa sahabat-sahabat, berkat pertolongan jiran-jiran.. hari ni terharulah dapat rumah berkat rezeki cucu makde dapat tinggal dengan selesa.

“Makde memang tak mampu lah nak sediakan rumah yang cantik untuk cucu-cucu, Makde bersyukur sangat pada Allah SWT dengan usia yang berbaki ni Allah bagi rumah dari pihak MUIP, terima kasih banyak-banyak termasuk bantuan daripada pihak JPKK yang menyalurkan maklumat mengenai keadaan hidup Makde dan keluarga ,” katanya hiba.
Beliau dikunjungi Pengurus MUIP Cawangan Daerah Pekan, Ustaz Mohd Nasrul Hakim Mat Daud diiringi Pengerusi JPKK Kuala Mentiga, Tuan Haji Alias Ismail yang hadir melihat tapak tanah yang akan dibina rumah bantuan MUIP bernilai lingkungan RM70,000.
“Hari ini kita telah lakukan pemantauan dan lawatan ke tapak rumah dan alhamdulillah pihak MUIP telah luluskan permohonan Puan Marjana.
“Ini adalah salah satu peranan MUIP di bawah kepimpinan KDYMM Pemangku Raja Pahang selaku Yang DiPertua MUIP yang sentiasa mengambil berat dan cakna terhadap rakyat terutama golongan yang memerlukan seperti asnaf.
“Di kesempatan ini juga saya ingin menyampaikan penghargaan kepada pembayar zakat kerana dapat bersama-sama membantu asnaf di daerah Pekan ini,” katanya. – PAHANGMEDIA